Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kerajaan patut wajibkan sekolah tahfiz berdaftar, kata institut keselamatan

 | September 14, 2017

Menurut Pengerusi NIOSH Lee Lam Thye, dalam 3 bulan pertama tahun ini kebakaran berlaku di kira-kira 30 sekolah tahfiz, pondok dan madrasah.

Lee-Lam-Thye-2

KUALA LUMPUR: Tragedi kebakaran di sebuah sekolah agama berasrama di sini yang meragut 24 nyawa awal hari ini perlu diambil pengajaran oleh semua pihak, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kerajaan patut mewajibkan setiap sekolah agama di negara ini berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau kerajaan negeri bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah itu.

Kata pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), setelah didaftarkan, kerajaan perlu pula mewajibkan audit keselamatan secara komprehensif dilakukan terhadap sesebuah sekolah dan kemudahan yang disediakannya.

Lee berkata pihak berkuasa juga perlu melakukan pemeriksaan tahunan tentang keselamatan sekolah jenis itu di seluruh negara, yang merangkumi bangunan dan kemudahannya, termasuk asrama, terutama yang sudah berusia lebih 20 tahun.

“Pihak berkuasa yang melakukan semakan audit perlu mengenal pasti tahap keselamatan sesebuah sekolah, termasuk dari segi bahaya kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai sekolah tahfiz, Lee berkata setakat April tahun ini, 519 sekolah seperti itu didaftarkan di seluruh negara, tetapi banyak lagi dipercayai tidak didaftarkan.

Katanya, menurut laporan, Kementerian Pendidikan menghadapi kesulitan untuk memantau dan meningkatkan ciri keselamatan di sekolah tahfiz serta pelajarnya kerana kebanyakan sekolah jenis itu tidak didaftarkan.

Dalam 3 bulan pertama tahun ini, kebakaran berlaku di kira-kira 30 sekolah tahfiz, sekolah pondok dan madrasah, melibatkan kerugian dianggar lebih RM1.4 juta, katanya.

Sementara itu, Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) turut bersedih atas tragedi mengorbankan lebih 20 nyawa dalam kebakaran membabitkan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat awal pagi ini.

Dalam kenyataan, wakil Unicef di Malaysia Marianne Clark-Hattingh, mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga mangsa.

Beliau menggesa penguatkuasaan prosedur keselamatan dan pengawal keselamatan di semua sekolah seluruh Malaysia diwujudkan serta dikuatkuasakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Amat menyedihkan, kejadian seperti itu mungkin dapat dielakkan. Ia menjadi peringatan kepada kita semua pentingnya memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam semua persekitaran pembelajaran,” katanya.

Siasatan terperinci perlu dilakukan secepat mungkin untuk mengenal pasti punca kejadian, tambah beliau.

Menerusi kenyataan sama, pertubuhan dunia itu mahu pihak media beretika ketika membuat laporan mengenai tragedi berkenaan.

Beliau berkata, media tidak sepatutnya menerbitkan mahupun berkongsi video dan gambar keadaan mangsa di media sosial sebagai menghormati hak serta perasaan keluarga.

Semua 24 mayat ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz berkenaan dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, 14 pelajar dan empat guru berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan dengan 6 daripada mangsa dilaporkan kritikal.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Pusat tahfiz 3 tingkat itu mempunyai 36 pelajar lelaki berusia antara 13 dan 17 tahun.

Semua mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments