Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Malaysia, 4 negara lain bakal tandatangani dokumen berkaitan MH17

 | September 14, 2017

Siasatan diketuai Belanda itu menumpukan kira-kira 100 orang disyaki "berperanan aktif" dalam insiden itu, namun sehingga kini penyiasat tidak mendedahkan identiti suspek.

mh17KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Luar negara Australia, Belgium, Malaysia, Ukraine dan Belanda yang membentuk Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT), akan menandatangani dokumen berkaitan kes pesawat Boeing 777 MH17 di New York minggu depan.

Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkata majlis menandatangani dokumen yang mentakrifkan langkah dan tindakan terperinci semua negara itu akan diadakan di luar Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-72.

“Negara-negara terlibat komited mengambil langkah berkesan dan untuk menyiasat. Ukraine dengan pasukan JIT masih bekerjasama rapat dan dokumen itu akan menyatakan secara mendalam dan ia adalah satu daripada pelbagai saluran lain yang sedang diusahakan,” kata Nechytaylo kepada Bernama pada temu bual di ibu pejabat agensi berita baru ini.

Pesawat penerbangan Malaysia Airlines dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan semua 298 penumpang.

Penyiasat antarabangsa dipetik berkata, pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK Rusia.

Siasatan diketuai Belanda yang rakyatnya paling ramai terkorban, menumpukan kira-kira 100 orang disyaki “berperanan aktif” dalam insiden itu, namun sehingga kini penyiasat tidak mendedahkan identiti suspek.

Mengulas lanjut, Nechytaylo berkata, dokumen berkenaan sebagai susulan usaha Ukraine membawa pelaku ke muka pengadilan dan tuntutan mahkamah terhadap Rusia yang difailkan awal tahun ini.

Dalam kes difailkan 16 Januari lepas, MH17 yang ditembak jatuh dijadikan sebahagian prosiding oleh Ukraine di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau menambah, langkah itu bagi mempertanggungjawabkan Rusia terhadap tindakan keganasan dan diskriminasi dalam pencerobohannya ke atas Ukraine.

“Ia memang satu proses panjang dan pastinya mengambil masa. Cabaran dihadapi sekarang, kita perlu mengumpul bukti kukuh yang akan diterima di mahkamah.

“Bukan mudah untuk mendapatkan sabitan apatah lagi bangkai pesawat paling banyak ditemui bukan di bawah kawalan kerajaan Ukraine,” kata Nechytaylo merangkap duta besar Ukraine ke Filipina.

Tambah beliau, Ukraine dan Belanda akan menandatangani satu memorandum pertukaran maklumat berkaitan nahas yang akan membantu negaranya dalam tuntutan mahkamah ke atas Rusia.

Sebagaimana dilaporkan Agensi Berita Ukraine baru ini, pertukaran maklumat itu membayangkan pendakwaan suspek adalah untuk kesemua 298 mangsa terkorban dalam nahas berkenaan, sekaligus memberi hak sama rata kepada waris mangsa mengikuti proses perundangan di Belanda.

Pada Julai, pegawai Belanda mengumumkan perbicaraan terhadap suspek yang ditahan berhubung insiden itu akan diadakan di Belanda, berdasarkan keputusan secara kolektif negara terlibat.

Malaysia melalui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengalukan keputusan itu, mengatakan pendakwaan di Belanda akan memastikan “kebertanggungjawaban piawaian antarabangsa dipatuhi”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments