Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Melaka, Kedah arah tingkat tahap keselamatan sekolah tahfiz

 | September 14, 2017

Kerajaan Melaka dan Kedah ambil langkah keselamatan supaya tragedi sekolah tahfiz terbakar tidak berulang.

Idris-Haron-tahfizMELAKA: Ketua menteri Melaka mengarahkan jabatan agama, jabatan pendidikan dan jabatan kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas sekolah tahfiz di negeri itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku pada masa depan.

Datuk Seri Idris Haron mengarahkan mahu sekolah tahfiz kerajaan dan swasta mengambil berat faktor keselamatan di sekolah dan tidak berkompromi dengan tahap keselamatan sekolah.

“Laporan keselamatan diminta untuk dibentang kepada pihak berkuasa negeri dengan segera. Tindakan proaktif dan sistematik dapat mengelakkan sebarang kecelakaan atau kemalangan berlaku,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas negara digemparkan dengan kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara awal pagi tadi. Pihak berkuasa mengesahkan seramai 21 orang pelajar dan 2 guru maut dalam kejadian itu selepas gagal menyelamatkan diri dari bangunan yang terbakar.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah akan bekerjasama dengan bomba negeri untuk mengadakan program penerangan keselamatan dan kebakaran kepada 104 buah sekolah agama rakyat, sekolah pondok dan tahfiz di negeri itu.

Exco Agama, Pelancongan & Warisan dan Kerja Raya Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata pihak sekolah dan bomba harus memberi penerangan berkala kepada pihak pengurusan sekolah dan pelajar.

“Semasa perhimpunan sekolah atau dalam tazkirah perlu diselit tentang isu keselamatan ini,” katanya, lapor Bernama.

Kerajaan Kedah juga mahu sekolah tahfiz membuat pemeriksaan sistem pendawaian 2 kali setahun dan memastikan sebarang kerja penyambungan pendawaian dilakukan dengan betul.

“Ada sekolah yang membuat penyambungan pendawaian secara tradisional yang boleh mendatangkan risiko kerana pada masa akan datang pendawaian tidak dapat bertahan lama, cepat panas hingga menyebabkan berlakunya kebakaran.

“Ubat nyamuk yang dipasang juga boleh menyebabkan kebakaran. Perkara ini boleh berlaku sekiranya aspek keselamatan tidak diambil berat,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau tidak mahu kebakaran yang terjadi di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya pada 22 Sept 1989 hingga mengorbankan 27 pelajar berulang di Kedah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments