Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Sekolah tahfiz jangan abaikan perkara keduniaan, kata Zahid

 | September 14, 2017

Timbalan perdana menteri itu berkata sekolah tahfiz perlu mematuhi dasar pendidikan tahfiz negara.

zahid-hamidi-kes-kebakaran-tahfiz-darulKUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru pengurusan sekolah tahfiz supaya jangan mengabaikan aspek keduniaan seperti memastikan keselamatan pelajarnya.

“Biarpun tujuan kita adalah mahu menuju ke jalan akhirat, tetapi aspek keduniaan termasuk ciri-ciri keselamatan hendaklah diberi keutamaan.

“Dalam hal ini saya bagi pihak kerajaan akan membantu sedaya mungkin yang boleh bagi menyelaraskan semua pentadbiran maahad tahfiz dan jangan anggap ada campur tangan atau usaha pengambilalihan,” kata Zahid selepas melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pagi tadi menyebabkan kematian 23 orang kebanyakannya pelajar.

Siasatan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati sekolah yang terletak di Datuk Keramat itu tidak berdaftar dan tidak selamat diduduki.

Api yang merebak di tingkat atas bangunan 3 tingkat diduduki sekolah itu menyebabkan 23 pelajar dan 2 orang warden sekolah itu terbunuh.

Zahid berkata sejak 2011, sudah berlaku 31 kejadian kebakaran melibatkan sekolah tahfiz.

Katanya, sekolah tahfiz mesti tertakluk kepada dasar pendidikan tahfiz di samping mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan dan JBPM.

“Kami faham bahawa penginapan dan tempat pengajian ini adalah sementara saja kerana mereka sedang melakukan renovasi bagi maahad tahfiz yang kekal bentuknya,” kata Zahid.

“Bagaimanapun saya ingin mengulangi bahawa kita mempunyai dasar pendidikan maahad tahfiz dan ini harus diikuti walaupun ia berbentuk sementara atau kekal ia haris diikuti,” katanya.

Menurutnya, kerajaan pusat tidak berniat campur tangan hal ehwal pendidikan agama yang di bawah pihak berkuasa negeri, tetapi berkata piawaian yang ditentukan melalui dasar pendidikan tahfiz perlu dipatuhi sepenuhnya.

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara diumumkan kerajaan tahun lalu dan sedang dirangka oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menambah baik sektor pendidikan tahfiz.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengesahkan sekolah tahfiz itu tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan, dan bangunannya diubah suai daripada struktur asal tanpa kelulusan.

Katanya, JBPM ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada sekolah itu bulan lepas, namun masih belum diluluskan.

“Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal,” katanya.

Zahid berkata di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, pihak bomba menyediakan latihan khusus agar sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat mewujudkan pasukan bomba sukarelawan masing-masing.

“Ini telah pun saya lancarkan bukan Mei lalu tetapi ada maahad tahfiz yang khuatir kononnya kita mahu campur tangan atau ambil alih pentadbiran sekolah berkenaan,” katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments