Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Tahfiz anggap keprihatinan kerajaan campur tangan, kata Zahid

 | September 14, 2017

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan mahu tahap piawaian sekolah tahfiz diperbaiki, namun seolah ada kedegilan dalam kalangan pihak pengurusan sekolah.

VIDEO INSIDE

zahid-tahfizSIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkritik kelemahan pengurusan sekolah tahfiz di negara, selepas kebakaran yang berlaku awal pagi tadi mengorbankan 23 pelajar dan 2 guru, menjadikannya kejadian paling teruk melibatkan sekolah tahfiz.

“Ini bukan pertama kali, kita amat prihatin. Kita tahu setiap 2 atau 3 tahun, ada saja kejadian kebakaran atau kejadian struktur bangunan yang runtuh di sekolah-sekolah ini,” kata Zahid kepada Bernama.

Komennya dilontarkan selepas didedahkan sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat, Kuala Lumpur tidak berdaftar dengan pihak berwajib termasuklah Kementerian Pendidikan.

Zahid berkata kerajaan dulu sudah bersetuju membenarkan pihak bawah kerajaan negeri mengendalikan isu berkaitan agama termasuk sekolah agama tetapi keprihatinan yang ditunjukkan berkenaan pentadbiran sekolah-sekolah ini sudah lama dilihat oleh mereka dengan perasaan syak wasangka.

“Tapi kita lihat memang ada tahap piawaian keselamatan di sekolah-sekolah ini tidak dipatuhi, seolah-olah ada kedegilan dalam kalangan mereka yang melihat kerajaan mahu campur tangan dalam urusan mereka,” kata Zahid sebagaimana dipetik Bernama ketika lawatan kerja di Sibu, Sarawak.

Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan 21 pelajar dan 2 guru maut, manakala 6 lagi pelajar dan seorang orang awam cedera dalam dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata kejadian itu kebakaran paling teruk di negara dalam masa 2 dekad ini.

Polis berkata pengurusan sekolah sedang disiasat kerana didakwa bangunan itu tiada permit sah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengesahkan sekolah itu tiada permit sah daripada jabatan bomba.

“Pihak bomba telah menerima borang permohonan arkitek, pelan architectural (seni bina) kita dah terima. Tetapi, saya ditunjukkan tadi pelan asal yang dia buat memang konsep terbuka, ertinya di tingkat 3 terbuka dan ada 2 tangga keselamatan dan tidak ada dinding.

“Namun, bomba mengesahkan kita belum lagi memberikan kelulusan CCC (sijil perakuan siap dan pematuhan), tetapi tahfiz ini sudahpun beroperasi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments