Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Trump dapat berbilion, Najib dapat peluang bergambar, Malaysia sifar

 | September 14, 2017

Rakyat sekadar memperoleh ucapan terima kasih daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

ppbm-trump-najib

Ahli Parlimen Pembangkang Sim Tze Tzin dan Tony Pua memakai rambut palsu memperolok Presiden AS Donald Trump, diapit Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk Rais Hussin dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan hari ini berkata tidak masuk akal Malaysia, sebuah negara membangun, mengeluarkan berbilion dolar untuk “memperkasakan” ekonomi negara dunia pertama.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua mengkritik “saat kebanggaan” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berpeluang menjejakkan kaki ke Rumah Putih dan bermesyuarat selama “6 minit” dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Menurut Tony, pada hakikatnya Najib hanya memalukan diri sendiri, terutamanya apabila Trump tidak menawarkan sebarang balasan, sekadar berkata “bagus” apabila Najib mengumumkan Malaysia akan melabur hampir RM60 bilion di AS.

“Najib cakap besar tentang urusan AS$10 bilion (RM42 bilion) oleh Malaysia Airlines (MAS) untuk memperoleh pesawat Boeing, malahan menawarkan secara terbuka untuk ‘memujuk’ AirAsia membeli ejin GE.

“Itu bukan sahaja seperti menawarkan anak perempuan sendiri untuk dikahwini maharaja tetapi menawarkan juga anak saudaranya. Apa yang kita dapat sebagai balasan hanyalah ‘Terima kasih. Saya hargai tawaran itu’.

“Perdana menteri menawarkan emas berlian dalam usahanya yang sia-sia untuk menyokong kempen Presiden Trump, ‘Make America Great Again’, dan kita tidak peroleh apa pun sebagai balasan.”

Tony berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat PPBM hari ini, yang juga dihadiri Ahli Parlimen PKR Sim Tze Tzin, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk Rais Hussin, dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Rais menyamakan tawaran Najib untuk memperkasakan ekonomi AS seperti cubaan mengajar bola sepak kepada salah seorang pemain bola sepak terhebat, Lionel Messi.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS kira-kira 63 kali ganda daripada Malaysia. Boleh pula Najib kata kita cuba memperkasakan ekonomi AS.”

Beliau juga berkata lawatan Najib menjadi “peluang bergambar termahal” kerana menggadaikan maruah negara dan kestabilan ekonomi.

“Beliau bukan sahaja menjual negara kita tetapi termasuk semua aset kita.

“Esok akan diadakan majlis sambutan kepulangan secara besar-besaran untuk wira yang memberikan segalanya tetapi tidak peroleh sebarang balasan,” sindirnya.

Sim pula berkata ianya satu kebiasaan apabila negara membangun membuat lawatan rasmi ke negara dunia pertama, mereka pulang dengan peluang pelaburan langsung asing (FDI).

Sebaliknya, Najib pula yang menawarkan FDI kepada AS ketika lawatan 3 hari itu, kata Sim.

“Ini jenaka paling besar.”

Dzulkefly mengatakan lawatan itu langsung tidak memberi faedah kepada rakyat walaupun Najib peroleh pengiktirafan yang diperlukannya.

“Trump dapat berbilion wang, kita tidak dapat apa-apa ,” katanya.

Menurut laporan asing, Najib yang diapit penasihat tertinggi di Bilik Kabinet Rumah Putih pada Selasa, memberitahu Trump, MAS akan membeli 25 pesawat Boeing 737 dan 8 pesawat 787 Dreamliners dan mungkin akan membeli 25 lagi pesawat 737 pada masa depan. Tawaran itu katanya bernilai lebih AS$10 bilion (RM42 bilion) dalam 5 tahun.

Pembelian pesawat antara komitmen yang diikrar perdana menteri semasa lawatan itu, termasuklah pelaburan lebih besar daripada Khazanah Nasional, yang sebelum ini sudah pun melabur sebanyak AS$400 juta dalam beberapa syarikat teknologi tinggi di AS.

Najib juga berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk melabur AS$3 bilion hingga AS$4 bilion kepada pembangunan infrastruktur AS di samping AS$7 bilion yang sudah dilabur oleh KWSP di AS.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments