Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ubat nyamuk, litar pintas mungkin punca kebakaran sekolah tahfiz di Keramat

 | September 14, 2017

Timbalan ketua pengarah bomba berkata, semua mangsa maut kerana tidak dapat membuka jeriji tingkap dan sekolah itu baru mengemukakan permohonan keselamatan kebakaran bangunan.

kebakaran-tahfiz5KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesyaki kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan 22 pelajar dan 2 guru, mungkin berpunca daripada ubat nyamuk atau litar pintas.

Timbalan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Saimon Jahid berkata, semua mangsa maut kerana tidak dapat membuka jeriji tingkap.

simon

Datuk Saimon Jahid.

“Kawasan terlibat secara keseluruhan melibatkan 3 tingkat. Apabila bomba sampai di tingkat 3, kita jumpa beberapa mangsa di sana yang berkumpul di 3 sudut berlainan.

“Satu di penjuru kanan seramai 13 orang, bertindih-tindih, satu berhadapan pintu tangga utama, 8 lagi di hujung sudut sebelah kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian sebentar tadi.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.41 pagi tadi.

Katanya, 5 pelajar yang berjaya diselamatkan dalam operasi pertama pagi tadi, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu yang disertai 50 anggota tamat 8 pagi tadi, tetapi pihaknya masih melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelajar atau guru yang tertinggal dalam bangunan itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati sekolah tahfiz itu baru mengemukakan permohonan untuk kelulusan dari segi keselamatan kebakaran bangunan itu.

“Sepatutnya, pihak pemilik perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum memulakan operasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, semua 24 mangsa korban ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih di tingkat teratas pusat tahfiz terbabit yang menempatkan 36 pelajar.

Katanya, 14 pelajar dan 4 guru berjaya menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk pusat tahfiz itu yang hanya mempunyai sebuah pintu keluar masuk, selain tingkap bangunan berkenaan tidak dilengkapi aspek keselamatan untuk kegunaan waktu kecemasan.

Pegawai perhubungan awam HKL yang dipetik Bernama berkata, 4 mangsa kritikal dan 3 cedera ringan kini dirawat di hospital itu.

Lebih 20 pelajar maut dalam kebakaran sekolah tahfiz di Keramat


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments