Pengasuh ditahan disyaki dera anak polis
Ibu bayi perempuan mula mengesyaki bayinya yang berusia 8 bulan didera pengasuh selepas mendapati kesan merah pada pipi kiri seperti ditampar.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pengasuh itu, 24, ditahan selepas ibu bayi itu membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Hospital Kajang.
“Setelah membuat rawatan terhadap mangsa, pengadu mengesyaki mangsa telah didera,” kata Dzaffir menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Dzaffir, siasatan awal mendapati ibu bayi itu menghantar anaknya ke rumah suspek pada Ahad dan kemudian bergegas ke tempat kerja untuk mendapatkan cuti kecemasan kerana mahu membawa anaknya ke klinik.
Ibu bayi itu kemudian pergi semula ke rumah suspek dan semasa berada di luar rumah terdengar anaknya menangis dengan kuat.
“Suspek berbohong kepada ibu mangsa menyatakan bayinya sedang tidur dan baik-baik sahaja, pada masa yang sama suspek tidak mengetahui bahawa ibu mangsa telah berada di luar rumah,” menurut kenyataan itu.
Ibu bayi itu kemudian membawa anaknya turun ke kereta dan mendapati ada kesan merah di pipi kiri bayi tu seperti di tampar.
“Ibu mangsa telah menghubungi semula suspek tetapi telefon bimbit telah dimatikan,” menurut kenyataan itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Laporan polis dibuat oleh pembantu perubatan hospital. Pengasuh itu ditahan reman selama 4 hari sehingga Jumaat ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.