Hamidah: Budaya Syed Saddiq, PPBM punca saya keluar parti
Bekas naib presiden PPBM itu menyalahkan ketua Pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap budaya parti itu yang didakwanya tidak mewakili kaum Melayu.
PETALING JAYA: Datuk Hamidah Osman berkata, beliau meninggalkan PPBM disebabkan sikap kasar ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan sokongan yang beliau terima daripada pucuk pimpinan parti.
“Ia bukan hanya mengenai Syed Saddiq, tetapi seluruh budaya parti itu sendiri. Budaya yang disebarkan Syed Saddiq langsung tidak mewakili kita sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia.
“Kita sepatutnya menghormati orang tua dan apabila mahu menegur mereka, ada cara lebih baik untuk melakukannya, bukannya suruh saya berambus,” katanya kepada FMT hari ini.
Bekas naib presiden PPBM itu merujuk kenyataan Syed Saddiq kepada FMT pada Mei lalu, di mana ketua Pemuda itu meminta Hamidah berambus, selepas mendakwa beliau ialah punca lebih 1,000 ahli PPBM Perak keluar parti secara beramai-ramai.
Beliau turut menyifatkan bekas ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng itu sebagai hipokrit yang kecewa dengan keputusan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melantiknya mengetuai PPBM Perak.
Hamidah ketika menjawab dakwaan itu berkata, beliau akan menulis surat kepada Lembaga Disiplin PPBM untuk mendesak tindakan diambil terhadap Syed Saddiq.
Hari ini, katanya, beliau tidak menghantar surat itu kerana “tiada gunanya berbuat demikian apabila pemimpin parti nampaknya tidak berminat” mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq.
“Bagi saya, PPBM tidak ditubuhkan sekadar untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan. Ia juga bertujuan mendidik, khasnya golongan belia untuk menerima nilai-nilai baik.
“Tetapi, kita nampak matlamat ini tidak wujud dalam parti. Mereka hanya mahu menubuhkan sebuah kerajaan.”
Hamidah berkata, bukan mudah untuk beliau membuat keputusan meninggalkan PPBM, tetapi beliau terpaksa berbuat demikian kerana hatinya sudah tidak bersama parti itu.
“Saya mahu menyelamatkan negara bukan kerana ia adalah matlamat parti. Seperti yang anda tahu, saya menyuarakan kebimbangan mengenai cara negara ini ditadbir walaupun sebelum PPBM ditubuhkan.
“Ketika saya dipecat (daripada Umno) kerana bersuara lantang, tiada khabar angin mengenai parti lain akan ditubuhkan. Jadi, ia bukan mengenai jawatan bagi saya.
“Bagaimanapun, selepas didakwa gila kuasa, semua dakwaan yang dilemparkan kepada saya melemahkan semangat saya.”
Hamidah menyerahkan surat peletakan jawatannya Jumaat lalu dan Muhyiddin ketika itu berkata, beliau akan menghormatinya jika ia adalah keputusan muktamadnya.
Beliau meletak jawatan sehari sebelum seorang daripada 7 pengasas PPBM, Anina Saadudin, turut meninggalkan parti itu.
Anina dan seorang lagi pengasas PPBM, Kamarulazman Habibul Rahman mendakwa pemimpin PPBM mengamalkan kronisme, di mana mereka yang rapat dengan pemimpin parti akan dilantik memegang jawatan tinggi, sementara ahli yang benar-benar berjuang untuk parti dipinggirkan.
Kamarulazman yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM keluar parti April lalu.
Hamidah yang sependapat dengan mereka berkata, keadaan itu menjadi trend berdasarkan apa yang berlaku dalam parti itu, baru-baru ini.
“Ini trend sekarang. Saya sudah mengeluarkan kenyataan mengenainya dan menggesa pemimpin turun padang untuk dengar suara akar umbi.”
Syed Saddiq dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, beliau tidak mahu memanjangkan isu itu dan meminta maaf jika tindakannya melindungi parti dianggap biadab.
“Saya hanya mempertahankan apa yang saya rasa benar dan saya rasa ini merupakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan presiden dan timbalan presiden daripada tohmahan yang dilontarkan ke atas mereka.”
Syed Saddiq cabar naib presiden PPBM letak jawatan
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram