Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Trump ancam musnahkan Korea Utara, kutuk Iran dalam ucapan pertama PBB

 | September 20, 2017

Ucapan itu adalah ekspresi terkini tentang kebimbangannya mengenai pelancaran peluru berpandu balistik ke atas Jepun dan ujian nuklear bawah tanah.

trumpun

NEW YORK: Ucapan pertama Presiden Donald Trump di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyaksikan beliau mengancam untuk memusnahkan sama sekali Korea Utara sambil memuji kekuatan Amerika Syarikat (AS).

“AS mempunyai kekuatan dan kesabaran yang besar, tetapi sekiranya dipaksa mempertahankan dirinya atau sekutunya, kami tiada pilihan tetapi memusnahkan sama sekali Korea Utara,” Trump memberitahu Perhimpunan Agung PBB semalam.

Di sebalik reaksi di dalam dewan, Trump menyifatkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sebagai “orang roket yang dalam misi membunuh dirinya dan regimnya”.

Ucapan Trump itu selepas Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menasihatkan pemimpin dunia menonjolkan sifat negarawan mereka dan tidak “sengaja memasuki kancah peperangan”.

Ancaman ketenteraan terang-terangan Trump untuk menyerang Korea Utara menunjukkan kebimbangannya mengenai pelancaran peluru berpandu Pyongyang ke atas Jepun dan ujian nuklear bawah tanah.

Dalam reaksinya, Menteri Luar Sweden Margot Wallstrom tidak menyenangi ucapan Trump tersebut.

“Ini adalah ucapan yang salah, pada masa yang salah, kepada khalayak yang salah,” Wallstrom memberitahu BBC.

Korea Utara berkata ia diwakili diplomat muda di barisan depan semasa Trump berucap, dan tidak memberikan reaksi segera.

Canselor Jerman, Angela Merkel pula berkata beliau akan melakukan apa sahaja dalam kuasanya untuk memastikan penyelesaian diplomatik. “Selain daripada itu, akan hanya membawa kepada bencana,” katanya.

Mitt Romney, calon presiden Republikan pada 2012, dalam kiriman Twitter berkata rakannya Trump “memberi cabaran yang kuat dan diperlukan” kepada anggota PBB untuk menghadapi cabaran global.

Tetapi ahli parti Demokrat, Ed Markey dari Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS, mengecam kenyataan Trump, memberitahu CNN presiden itu belum lagi membicarakan pilihan lain bagi menggalakkan Pyongyang untuk berunding.

Dalam ucapan lantangnya selama 42 minit mengikut transkrip rasmi, Trump mensasarkan cita-cita nuklear Iran dan pengaruh serantau, demokrasi Venezuela dan ancaman pelampau Islam.

“Sebahagian besar dunia dalam keadaan konflik dan sesetengahnya akan masuk neraka,” katanya.

Ucapannya mengingatkan semula bahasa nasionalisnya yang berapi-api pada 20 Januari lalu apabila beliau berjanji untuk menamatkan apa yang beliau sifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai Amerika” daripada kilang-kilang berkarat dan jenayah.

Beralih ke Iran, Trump menyifatkan perjanjian nuklear 2015 yang dirundingkan bekas presiden Barack Obama sebagai memalukan, dan membayangkan beliau tidak boleh meneruskan perjanjian itu apabila ia berakhir pada pertengahan Oktober ini.

“Kami tidak boleh mematuhi perjanjian jika ia menyediakan perlindungan untuk pembinaan program nuklear,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Iran adalah “topeng pemerintahan diktator di sebalik kepalsuan demokrasi”.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif membalas dalam Twitter, berkata: “Ucapan kebencian Trump sesuai di zaman pertengahan – bukan abad ke-21 PBB – ia tidak layak untuk dijawab. Empati palsu untuk Iran tidak akan memperbodohkan rakyatnya”.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam ucapan PBB berkata, negaranya tidak akan menutup pintu untuk rundingan mengenai Korea Utara dan dengan tegas mempertahankan perjanjian nuklear Iran.

“Melepaskan tuntutan akan menjadi satu kesalahan yang bahaya,” kata Macron.

Trump juga menggelarkan keruntuhan demokrasi di Venezuela “tidak dapat diterima sepenuhnya” dan memberi amaran AS sedang mempertimbangkan tindakan selanjutnya yang boleh diambil. “Kami tidak boleh berdiri dan menonton,” katanya.

Venezuela menolak ancaman Trump dan berkata ia bersedia untuk menentang sebarang tindakan AS, bahkan serangan tentera.

Pada perhimpunan “anti-imperialis” di Caracas, Presiden Venezuela Nicolas Maduro menggambarkan Trump sebagai “Hitler baru politik antarabangsa.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments