Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

19 tahun selepas Anwar ditahan, Nurul Izzah ajak rakyat teruskan reformasi

 | September 21, 2017

Naib presiden PKR itu berkata, hakikat reformasi diterima pakai dalam agenda politik hari ini menjadikan pengorbanan Anwar Ibrahim dan keluarganya berbaloi.

izzah-reformasi-3

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar mengajak rakyat meneruskan reformasi bagi menyelamatkan Malaysia, pada ulang tahun ke-19 bapanya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, hakikat reformasi diterima pakai dalam agenda politik hari ini menjadikan pengorbanan bapa dan keluarganya berbaloi.

“Peristiwa tragis yang meninggalkan kesan dalam kehidupan kami dan ramai lagi pada 20 September 1998 itu, memberi banyak justifikasi terhadap keperluan untuk mengkaji penyalahgunaan kuasa berlebihan eksekutif dan memastikan kedaulatan undang-undang diutamakan.

“Kesedaran ini mencetuskan kewujudan reformasi yang akhirnya mendapat sambutan dan makna yang dilihat melalui dasar dan ikrar dibuat Pakatan Harapan, termasuk pemain politik yang sebelum ini menafikan keperluan untuk pembaharuan politik di negara ini.

“Ia termasuk mereka yang sebelum ini mengecam keperluan mengkaji kuasa perdana menteri, memastikan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan peguam negara bebas, kebebasan media dan liputan media secara adil serta sebuah kerajaan yang berusaha menyatukan rakyatnya,” katanya kepada FMT pada Rabu.

Naib presiden PKR itu berkata, institusi demokrasi di negara ini yang akan memastikan rakyat terus menikmati manfaatnya dan menyediakan kompas moral berkesan untuk kepimpinan negara.

Pada 2 September 1998, Anwar yang juga timbalan perdana menteri ketika itu, dipecat daripada Kabinet diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gerakan reformasi yang diketuai Anwar menyusul, dengan penyokongnya mengadakan protes jalanan besar-besaran bagi menuntut pembaharuan politik dan menyingkirkan Dr Mahathir.

Anwar kemudiannya ditahan di bawah ISA pada 20 September 1998. Polis bagaimanapun tidak menghadapkan beliau ke mahkamah.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, polis terpaksa menahan Anwar kerana beliau menghasut penyokongnya merusuh ketika berucap dalam perhimpunan haram di Masjid Negara.

Bekas ketua pembangkang itu kemudiannya didakwa atas pertuduhan rasuah dan liwat. Beliau disabitkan kesalahan sebelum sabitan liwatnya ditolak pada 2004, ketika pengganti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi memimpin negara.

Selepas hampir 2 dekad menjadi musuh ketat susulan pemecatannya pada 1998, Dr Mahathir dan Anwar berdamai tahun lalu dan setuju bekerjasama untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kini, Anwar ialah ketua umum Pakatan Harapan, manakala Dr Mahathir pula dilantik sebagai pengerusi gabungan 4 parti pembangkang itu.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur petang semalam, akibat “tekanan darah tinggi tidak menentu”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments