Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

G25: Apa jaminan PAS undang-undang Islam tak jejas bukan Islam

 | September 21, 2017

Ahli kumpulan moderat Melayu G25, Johan Ariffin Samad menggesa PAS melihat kepada Indonesia yang mempunyai populasi beragama Islam paling ramai di dunia, tetapi bertoleransi dengan agama atau kaum lain.

g25-pas

PETALING JAYA: Seorang ahli kumpulan moderat Melayu G25 hari ini mempersoalkan jaminan PAS terhadap penguatkuasaan undang-undang Islam tidak akan menjejaskan orang bukan Islam, selepas parti itu membantah penganjuran “Better Beer Festival 2017”.

Datuk Dr Johan Ariffin Samad yang juga bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah berkata, ketika mempromosikan rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah, pemimpin PAS menegaskan RUU itu hanya akan menjejaskan umat Islam.

“PAS dan pemimpin Islam lain memberi jaminan kepada orang ramai dari semasa ke semasa yang orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan hudud atau fatwa.

“Mereka memberi jaminan kepada pihak yang bimbang, ia hanya akan diguna pakai ke atas umat Islam.

“Tetapi, tindakan melampaui batas kemampuan ini sudah tentu akan menjejaskan imej kita sebagai negara Islam sederhana dan menakutkan pelancong serta pelabur ke negara kita,” katanya kepada FMT hari ini.

“Better Beer Festival 2017” sepatutnya berlangsung di Galeri Beli-belah Publika, ibu negara, pada 6 hingga 7 Oktober ini, dengan membabitkan 250 bir buatan khas oleh 43 kilang bir dari seluruh dunia.

PAS kemudiannya melabelkan acara itu “pesta maksiat” yang boleh menyebabkan Kuala Lumpur dikenali dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia, jika ia diteruskan.

Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Riduan Mohd Nor turut mendakwa pesta itu boleh mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Johan menggesa PAS dan pemimpin Islam lain melihat kepada Indonesia yang mempunyai populasi beragama Islam paling ramai di dunia, tetapi toleransi rakyatnya kekal di tahap tinggi sehingga orang bukan Islam dibenar mengamalkan gaya hidup mereka.

“Malah, presiden mereka, seorang umat Islam, menetapkan tahap toleransi dan muhibah dengan agama lain.

“Di tempat seperti Bali contohnya, anda boleh lihat bagaimana umat Islam hidup bersama penduduk bukan Islam dan pelancong bagaikan adik-beradik dari negara dan agama berbeza.

“Mereka membenarkan minuman bir terkenal di Indonesia, Bintang dan minuman beralkohol lain.”

Johan berkata, ini sebabnya Bali terus berkembang walaupun pengganas Islam mencetuskan keganasan di sana.

“Ia disebabkan toleransi dan persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira agama atau negara asal masing-masing.

“Hasilnya, pendapatan daripada industri pelancongan memberi kehidupan lebih baik kepada mereka yang turut dikongsi bersama perkampungan dan komuniti kecil.”

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit MyBeer Malaysia untuk menganjurkan pesta arak itu dengan alasan “sensitiviti politik”.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan wujud ancaman militan jika pesta arak itu diteruskan seperti dirancang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis tidak menyokong penganjuran acara itu kerana mempunyai maklumat terdapat pihak yang akan menimbulkan kekacauan.

“Terdapat maklumat yang mendedahkan wujud perancangan oleh militan yang akan melakukan sabotaj ke atas festival berkenaan, kerana menganggapnya sesuatu yang bertentangan perjuangan mereka.

“Maklumat juga mendedahkan wujud beberapa pihak merancang untuk menimbulkan kekacauan semasa festival tersebut berlangsung dan ini bakal menimbulkan situasi keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesta arak itu dianjurkan sejak 2012 dengan penyertaan 200 orang di Changkat Bukit Bintang 5 tahun lalu, manakala penganjuran di Galeri Beli-belah Publika pada Oktober 2016 disertai 3,500 orang.

Wujud ancaman militan jika festival bir diteruskan, kata KPN

Penganjur persoal alasan DBKL batal festival bir


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments