Vandalisme ‘MATI’ di kampus UKM timbul tanda tanya
Beberapa papan tanda kolej kediaman dan fakulti di kampus induk Bangi diconteng dan sebuah objek menyerupai mayat digantung.
BANGI: Warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memulakan aktiviti harian mereka diiringi rasa terkejut apabila mendapati beberapa papan tanda di kampus induk di sini menjadi mangsa vandalisme.
Pelbagai papan tanda termasuk kemudahan trafik menjadi sasaran, dengan perkataan “MATI” disembur ke atasnya.
Antara kawasan terlibat adalah Fakulti Pendidikan dan sekurang-kurangnya 2 asrama kediaman iaitu Kolej Burhanuddin Helmi dan Kolej Ibrahim Yaakub.
Turut menjadi sasaran ialah sebuah cermin aliran trafik, dan papan tanda di pintu masuk Pusat Khidmat Siswa (Pusanika).
Di satu bahagian kampus pula, sebuah objek yang dibungkus dengan kain putih digantung menyerupai mayat, dengan semburan “MATI” berwarna merah.
FMT sedang cuba menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan butiran lanjut.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Tidak dapat dipastikan sama ada perbuatan itu ada kaitan dengan rasa tidak puas hati pihak tertentu terhadap pihak pengurusan ataupun dengan pilihan raya kampus yang selesai Selasa lalu tanpa sebarang insiden.