Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Jabatan agama NS dituduh kebumi penganut Hindu di kubur Islam

 | September 22, 2017

Roseli Mahat berkata, dokumen semua ahli keluarga musnah dalam kebakaran 35 tahun lalu dan JPN bertindak meletakkan 'bin' pada dokumen pengenalan mereka, dengan alasan nama mereka mempunyai ciri-ciri Islam.

jins_jenjah_600

PETALING JAYA: Seorang anak mendakwa keluarganya tidak berpuas hati dengan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengebumikan mayat bapanya yang beragama Hindu di tanah perkuburan Islam, dan mereka akan berusaha mengambil balik mayat warga emas itu untuk dikebumikan di tanah perkuburan Hindu.

China Press melaporkan Mahat Sulaiman, 76, yang berketurunan baba nyonya, meninggal dunia jam 2.31 pagi, 9 September lalu di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Anak sulungnya berusia 44 tahun, Roseli Mahat, ketika hendak mengambil mayat bapanya, dimaklumkan pihak hospital disebabkan nama warga emas itu mempunyai “bin”, mereka sudah memaklumkan jabatan agama Islam supaya menunggu pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai agamanya, sebelum boleh menguruskan mayatnya.

Roseli dipetik akhbar itu sebagai berkata, beliau kemudiannya menghubungi jabatan agama Islam bagi memaklumkan bapanya penganut Hindu, tetapi pihak terbabit memintanya menunggu sehingga hari bekerja pada Isnin untuk menguruskan perkara itu.

Bagaimanapun, adiknya ketika menunggu di hospital pada jam 10 pagi Sabtu lalu, memaklumkan beliau sekumpulan pegawai dipercayai dari jabatan agama Islam bersama polis pergi ke hospital dan berkeras membawa mayat bapanya.

Ketika beliau tiba di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu, mayat bapanya sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sikamat, Seremban.

Katanya, JPN dalam Daftar kematian/Permit mengubur yang dikeluarkan pada 9 September lalu membiarkan ruangan agama dan bangsa dikosongkan.

Dua hari kemudian, ruangan agama dalam sijil kematian Mahat yang dikeluarkan JPN tertera “Maklumat tidak diperolehi” dan bangsa pula ialah Cina.

“Walaupun saya berusaha mengambil balik jenazah bapa, tetapi jabatan agama asyik meminta saya menunggu berita,” katanya pada sidang media di pusat khidmat Adun Nilai, J Arul Kumar, semalam.

‘Bin’ tak semestinya beragama Islam

Roseli berkata, semua dokumen pengenalan ahli keluarganya musnah dalam satu kebakaran 35 tahun lalu.

Beliau berkata, nama ahli keluarganya selama ini tidak mempunyai “bin” dan JPN bertindak meletakkan “bin” pada dokumen semua ahli keluarganya, dengan alasan nama mereka mempunyai ciri-ciri Islam.

“Ketika itu, bapa saya memaklumkan kami berketurunan baba nyonya, bukannya Islam. Pegawai JPN mengatakan nama mempunyai ‘bin’ tidak semestinya beragama Islam kerana semuanya akan ditentukan berdasarkan agama.

“Jadi, bapa saya pun tidak memanjangkan perkara itu, tetapi tak sangka hari ini timbul masalah agama.”

Selama ini, katanya, keluarganya tidak menggunakan nama Cina mereka dan datuknya yang berasal dari China dikebumikan di tanah perkuburan Cina Batu Berendam di Melaka.

“Sejak kecil, bapa saya hidup sebagai penganut Hindu dan tidak pernah mengikuti ajaran atau pantang larang Islam.

“Ahli keluarga kami makan daging babi, bahkan ketika saya berkahwin, bapa saya mengadakan majlis perkahwinan mengikut adat resam Hindu.”

Kecelaruan dalam sijil kelahiran

Beliau berkata, sijil kelahirannya tertera beliau berketurunan India, tetapi bapanya, Mahat pula berketurunan Melayu dan agama mereka berdua pula tertera “Maklumat tidak diperolehi”.

China Press turut menyiarkan sijil kelahiran adiknya yang bernama Sharifah binti Mahat, dengan keturunan tertera Cina dan beragama Buddha, serta maklumat bapanya pula tertera keturunan Cina dan beragama Buddha.

Tetapi, dalam sijil kelahiran anaknya yang bernama Ng Mei Ling, JPN meletakkan keturunan kanak-kanak itu sebagai India, manakala keturunan Roseli pula ialah Cina dan ruangan agamanya tertera “Maklumat tidak diperolehi”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments