Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

3 bekas MB tak mampu cetus gelombang, kata pemimpin Umno Selangor

 | September 23, 2017

Orang muda tidak berminat dengan sejarah, tetapi apa yang boleh BN janjikan untuk masa depannya, kata Marsum Paing.

Marsum-Paing

PETALING JAYA: Beberapa pimpinan Umno Selangor tidak menaruh harapan gandingan 3 bekas menteri besar negeri itu – Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo – akan mencetuskan gelombang pengundi muda menyokong Barisan Nasional.

Ketua Umno Bahagian Sepang Datuk Marsum Paing berkata meskipun kehadiran pemimpin lama Umno itu boleh mengukuhkan persiapan BN menghadapi pilihan raya, beliau mengingatkan pengundi muda hari ini tidak berminat dengan “sejarah” tetapi tawaran masa depan.

“Orang muda sering bangkitkan apakah yang boleh kita janjikan untuk masa depannya,” katanya, ketika ditanya kesan daripada gandingan 3 pemimpin lama Umno dan Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar.

Dalam laporan FMT sebelum ini, badan tinjauan Merdeka Centre melaporkan 70% daripada 604 responden anak muda tidak meminati politik. Anak muda dikatakan jemu dengan politik orang lama dan tidak yakin suara mereka didengari.

Muhammad merupakan menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997, Abu Hassan dari 1997 hingga 2000 manakala Khir dari 2000 hingga 2008.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Datuk Markiman Kobiran percaya kehadiran 3 pemimpin lama Umno itu akan dapat meyakinkan pengundi lingkungan usia 40 ke atas menyokong BN.

“Suatu harapan besar buat kita adalah, kemasukan ini bukan sekadar membawa dirinya sahaja tetapi turut membawa segerombolan penyokong yang sebelum ini membawa diri,” katanya.

Marsum juga percaya seorang bekas menteri boleh membantu BN memberi penerangan kepada pengundi luar bandar dan warga emas.

“Mat Taib punyai kelebihan sendiri dan Tan Sri Noh Omar juga memiliki kehebatannya,” katanya.

Pembangkang setuju

Sementara itu, pimpinan kerajaan Selangor juga bersetuju trio bekas menteri besar itu tidak akan mampu menipu angin perubahan di Selangor.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Mat Suhaimi Shafie berkata gandingan mereka hanya mengembalikan nostalgia Umno lama, bukan menambahkan kuasa parti itu.

“Zaman mereka telah berlalu. Zaman remaja mereka tidak sama dengan remaja sekarang. Mereka sukar menyesuaikan diri dan remaja masa kini juga tak dapat menerima mereka,” katanya kepada FMT.

“Jika rakyat suka mereka (Umno) tidaklah pada 2008 rakyat tukar pemerintahan BN di Selangor. Maknanya mereka telah gagal. Walaupun mereka kembali bersama Tan Sri Noh, mereka hanya mengembalikan nostalgia bukan kuasa.”

Noh Omar dilaporkan berkata Muhammad, Abu Hassan dan Khir bakal digabungkan bagi memastikan BN menawan kembali Selangor pada pilihan raya umum ke-14.

Suhaimi akui 3 bekas menteri besar banyak menyumbang kepada Selangor, namun mereka juga terpalit dengan kontroversi tersendiri.

“Pasti ada perkara yang baik telah dilakukan namum mereka juga meninggalkan nama yang sedikit tercalar. Usah kita kenang mereka dengan perkara yang kurang enak,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments