Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr M akan jawab dakwaan hakis hak Sarawak

 | September 23, 2017

Pakatan Harapan Sarawak menyalahkan Ahli Parlimen PBB dan Umno sebelum dan selepas Dr Mahathir kerana membenarkan perubahan yang menjejaskan status dan kuasa Sarawak.

Vernon-Kedit-3

PETALING JAYA: Pakatan Harapan Sarawak menyerang Barisan Nasional bagi menepis dakwaan mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad memainkan peranan penting dalam menghakis hak negeri itu semasa menjadi perdana menteri, sebelum lawatan pengerusi gabungan pembangkang ke Kuching nanti.

Ketua Penerangan PH Vernon Kedit hari ini menuduh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu komponen terbesar gabungan pemerintah di Sarawak, serta perdana menteri Umno sebelum dan selepas Dr Mahathir kerana membenarkan kuasa negeri itu dikurangkan.

“PBB dan ahli Parlimen mereka dahulu dan sekarang, dan ketua menteri yang memimpin negeri ketika itu, yang seharusnya memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana bersama dengan Umno dan memimpin BN Sarawak menghakis hak negeri,” katanya.

“Fakta sejarah tidak boleh diputar-belitkan atau dinafikan dan hansard Parlimen tersedia untuk bacaan semua orang,” katanya lagi dalam kenyataan.

Beliau berkata Dr Mahathir akan menjawab “tuduhan palsu” terhadapnya esok malam.

Pemimpin pembangkang itu dijadualkan membuat penampilan pertama di Sarawak sebagai pengerusi PH dalam satu majlis gabungan pembangkang di Kompleks Everrise BDC.

Awal hari ini, Borneo Post memetik Menteri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai berkata kebanyakan hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dihakis di bawah pentadbiran Dr Mahathir dari 1981 hingga 2003.

Adun PPB itu secara sinis mengalu-alukan kedatangan bekas perdana menteri itu ke Sarawak kerana beliau sangat jarang berbuat demikian sebelum ini.

Kedit berkata kehakisan terbesar hak Sarawak dilakukan melalui pindaan kepada Perkara 1(2), iaitu antara 48 pindaan pada Perlembagaan Persekutuan, yang dibentangkan oleh perdana menteri ketika itu, Tun Hussein Onn pada 12 Julai 1976 dan diluluskan di Dewan Rakyat pada hari berikutnya.

“Pindaan itu secara asasnya menurunkan status Sarawak kepada ‘negeri’,” katanya.

Beliau mendakwa wakil rakyat PBB menyokong pindaan itu maka secara langsung menghapuskan kedudukan sama taraf Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah.

“Dr Mahathir bukan perdana menteri ketika itu,” katanya.

Beliau berkata Parlimen juga meluluskan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menghakis hak Sarawak untuk mengawal sumber asli negeri.

Beliau mendakwa wakil rakyat PPB menyokong usaha itu. “Sarawak menyerahkan 95% pendapatan minyak kepada kerajaan persekutuan, dan hanya mengambil 5% untuk negeri,” katanya.

“Perdana menteri ketika itu ialah Tun Abdul Razak Hussein, bapa kepada perdana menteri sekarang Datuk Seri Najib Razak,” tambahnya.

Kedit juga berkata Akta Laut Wilayah 2012 pula diluluskan di Parlimen semasa pentadbiran Najib, yang menjawat jawatan itu pada 2009. Beliau mendakwa usaha itu juga disokong wakil rakyat PBB.

Beliau berkata pindaan itu mengurangkan kuasa maritim negeri kepada 3 batu nautika (5.5 km) dari pesisir pantai.

“Dr Mahathir sudah bersara ketika itu,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments