Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Satukan rakyat Sabah sebelum bicara soal pakatan, kata Warisan

 | September 23, 2017

Presiden Shafie Apdal berkata kerajaan Sabah tidak wajib mengikut kehendak dan kemahuan parti politik dari Malaysia Barat.

Shafie-Apdal-bendera-sabah2

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak terlalu khuatir sama ada parti pembangkang di negeri itu akan membentuk satu pakatan untuk menewaskan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Datuk Seri Shafie Apdal berkata daripada memilih parti pesaing mana untuk bekerjasama, partinya lebih berminat menyatukan rakyat Sabah.

“Ada pertimbangan gandingan parti-parti. Kita tidak mahu parti bersatu tapi rakyat berpecah. Kita mahukan rakyat bersatu. Tidak perlu parti bersatu. Tidak ada ertinya parti bersatu tapi rakyatnya tidak berpadu. Kalau rakyat berpadu, jangan bimbang tentang banyak parti sangat,” katanya di satu majlis parti di Membakut hari ini.

Bekas menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata salah seorang ahli Warisan, Crispin Kitingan ialah adik kepada pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata Crispin sertai Warisan walaupun kedua abangnya presiden parti lain kerana memikirkan nasib generasi akan datang.

Jika semua rakyat Sabah berfikiran seperti Crispin, beliau percaya Warisan boleh mengambil alih kerajaan Sabah dengan majoriti yang kuat pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Semporna itu menekankan kepentingan mendirikan sebuah kerajaan negeri yang kuat kerana beliau tidak mahu Sabah terlalu bergantung kepada Kuala Lumpur.

“Sekarang semua mesti dirujuk ke Kuala Lumpur. Sama ada mahu menjadi calon atau ketua bahagian, mesti dapatkan persetujuan KL.

“Apabila tiba masanya nanti, apabila Warisan jadi kerajaan, kita akan hentikan semua iitu. Kita tidak mahu Kuala Lumpur buat keputusan bagi kita,” katanya.

Beliau turut bimbang dengan sikap parti dari Malaysia Barat dalam usaha mereka membentuk pakatan pembangkang di Sabah.

“DAP cakap mesti ikut dengan dia baru jadi ketua menteri. sudah berapa pilihan raya, mereka tidak jadi ketua menteri.

“Bukan Gabungan Sabah atau Pakatan Harapan yang akan tentukan siapa jadi ketua menteri. Rakyat Sabah yang tentukan,” katanya.

Beliau menggesa pengundi jangan bimbang mengenai dakwaan undi mereka akan terdedah kerana beliau faham ramai yang bimbang akibat mengundi pembangkang ke atas pekerjaan mereka, terutamanya penjawat awam.

Bekas naib presiden Umno itu mengesahkan BN tidak tahu parti mana yang diundi ahli mereka.

Dalam pilihan raya lepas, beliau berkata BN sebenarnya sudah tewas di Malaysia Barat tetapi berjaya mempertahankan Putrajaya kerana undi Sabah dan Sarawak.

“Kita bantu mereka jadi perdana menteri selama lebih 50 tahun. Tetap kita masih tidak boleh jadi PM. Rakyat Sabah tidak cukup bagus? Saya rasa kita boleh jadi perdana menteri negara ini. Kita boleh uruskan negara ini dengan lebih baik jika mereka beri kita peluang.

“Masa itu akan tiba. Perkara paling penting sekarang ini ialah mereka perlu melayan kita dengan lebih baik dan tidak menafikan hak kita,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments