Kamu tidak akan berkuasa selamanya, kata penulis
Penulis Turki Mustafa Akyol berkata sistem autoritarian akhirnya akan menyusahkan mereka yang mendirikan sistem itu.
“Kamu tidak boleh berkuasa selama-lamanya dan apabila kamu tidak lagi memegang kuasa kamu akan sedar sistem tidak liberal yang kamu cipta itu akan menyusahkan kamu,” katanya pada forum “Demokrasi Masih Relevan?” di Hotel Renaissance hari ini.
Beliau berkata kes di Turkey mengingatkan beliau kepada buku popular Game of Thrones.
“Kamu ada puak yang berebut takhta dan apabila kamu menang kamu akan menjadi raja tetapi bila kamu hilang kuasa kamu dianggap musuh pemerintah. Turki menjadi raksasa itu kerana presiden terlalu berkuasa.
“Sebab itu pilihan raya di Turki menjadi acara yang sangat bermakna kerana di AS kamu dapati ada orang tidak mengundi kerana siapa yang menjadi presiden tidak terlalu memberi kesan.”
Sebagai perbandingan, apabila Presiden AS Donald Trump mahu melaksanakan larangan ke atas 7 negara Islam, badan kehakiman berkata langkah itu tidak berperlembagaan dan larangan itu tidak berlaku.
“Rakyat AS bertuah kerana sistem liberal itu tertanam lebih lama jadi orang seperti Trump tidak boleh sesuka hati hanya kerana majoriti menyokongnya.
“Kalau kamu mahu masyarakat aman kamu mesti cipta kerajaan aman.”
Beliau berkata menjadikan sokongan majoriti sebagai faktor penentu dalam demokrasi bukan amalan yang sihat.
“Di Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan mempunyai majoriti menyokongnya tetapi negara itu tidak liberal. Jadi ada demokrasi liberal dan demokrasi tidak liberal.
“Begitu juga di India, sebuah negara demokrasi dan nasionalis Hindu tetapi ada banyak permusuhan terhadap orang Islam. India tidak bimbang mengenai hak minoriti.”
Beliau tertanya sama ada semua gerakan hanya peduli mengenai kebebasan apabila mereka tidak berkuasa.
“Orang Islam sayang puak liberal di Perancis kerana mereka menentang pengharaman hijab tetapi apabila bercakap mengenai hak untuk tidak berhijab di Arab Saudi, puak liberal dilihat sebagai orang jahat.”
Di Malaysia, negara ini menikmati tahap kebebasan tertentu. “Saya nampak kebebasan itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata mungkin perlu ada kebebasan yang lebih luas dalam politik dan agama.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kita perlu kaji negara maju dan ketahui apa rahsia mereka. Saya percaya rahsia mereka ialah kedaulatan undang-undang dan kebebasan yang mereka nikmati.”