Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Khidmat jaga ibu berpantang, bayi bantu atasi masalah pasangan

 | September 24, 2017

Suzita Wirjon menawarkan khidmat penjagaan ibu selepas bersalin dan bayi bagi memudahkan urusan pasangan yang baru memperoleh cahaya mata.

Natalis-Mother-Care-&-Beauty-SpaPETALING JAYA: Menyedari sesetengah pasangan perlukan bantuan dalam hal penjagaan ibu selepas bersalin dan bayi, Suzita Wirjon terdorong untuk menawarkan khidmat bagi memudahkan urusan keluarga yang baru memperoleh cahaya mata.

Suzita Wirjon sedar ramai keluarga yang perlukan bantuan daripada orang yang mahir menguruskan ibu selepas bersalin.

Suzita Wirjon sedar ramai keluarga yang perlukan bantuan daripada orang yang mahir menguruskan ibu selepas bersalin.

Suzita berkata idea membantu pasangan yang baru memperoleh cahaya mata tercetus apabila mengenang kembali kesusahan menguruskan bayi selepas bersalin.

“Saya kesian dengan suami, apabila pulang ke rumah selepas bekerja, dia terpaksa membasuh pakaian saya dan bayi, siapkan air mandian bayi. Jadi saya hanya berfikir untuk memudahkan tugas suami,” katanya kepada FMT.

Sejak dari itu, Suzita tekad membantu urusan ibu bapa menjaga insan tersayang selepas bersalin.

Berbekalkan pengetahuan penjagaan bayi yang diajar jururawat sewaktu di kem tentera, Suzita menambah kemahiran dengan mengikuti pelbagai kursus urutan dan penjagaan ibu selepas bersalin. Kementerian Kesihatan hanya mengiktiraf bidang amalan perubatan tradisional dan komplementari Melayu, Cina, India, Islam, homeopati, kiropraktik dan osteopati.

“Pada mulanya saya lakukan perniagaan ini secara bersendirian, ketika itu susah untuk saya perkenalkan perkara ini bahkan susah untuk mendapat dan mencari pelanggan.

“Tetapi selepas mendapat kepercayaan dari seorang pelanggan yang berpuas hati dengan servis ditawarkan, maka dari situlah saban hari perniagaan semakin berkembang,” katanya.

Kakitangan terlatih

Kini sudah 8 tahun beliau memulakan perniagaan di bawah jenama Natalis Mother Care & Beauty Spa. Bagi memenuhi permintaan di Malaysia Barat, Suzita kini dibantu oleh 26 orang penjaga ibu dan bayi yang digelar “confinement lady”.

Di Natalis, hanya wanita beragama Islam yang berumur dalam lingkungan 35 hingga 55 tahun sahaja dibenarkan untuk menjaga bayi dan ibu selepas bersalin. Kebanyakan penjaga yang bekerja dengannya berasal dari Indonesia, kerana kesukaran mendapatkan rakyat tempatan.

“Sebelum mereka pergi ke rumah pelanggan, kita latih mereka selama sebulan mengenai cara mengurut, bertungku, teknik asas rawatan dan memasak. Kita hantar mereka berlatih dengan ‘senior’ selama seminggu,” katanya, dan menambah maklum balas ibu yang dijaga juga membantu Suzita memastikan mutu perkhidmatan Natalis.

Pakej yang Suzita tawarkan bermula dari harga RM1650 sehingga RM6850, mengikut kesesuaian dan kemampuan ibu bersalin. Penjaga yang ditugaskan akan bersama dengan ibu berpantang selama 7 hingga 44 hari.

Linda Norman berkata ibu selepas bersaliin dijaga seperti puteri oleh kakitangan yang terlatih.

Linda Norman berkata ibu selepas bersaliin dijaga seperti puteri oleh kakitangan yang terlatih.

Linda Norman, 45, salah seorang dari penjaga terlatih Natalis. Beliau akui walaupun sudah mempunyai kemahiran dalam penjagaan bayi dan ibu selepas bersalin, kesangsian ibu bapa tetap timbul pertama kali beliau menjejakkan kaki ke rumah pelanggan.

“Saya berasal dari Medan, Indonesia. Asal-usul jauh berbeza dengan rakyat Malaysia. Ada suami dan isteri yang tidak mempercayai kemampuan menguruskan bayi sedangkan saya lakukan apa yang diajar.

“Tetapi, setelah mereka melihat saya lakukan dan tunjukkan kepada ibu berpantang cara penjagaan bayi, selepas 2-3 hari persepsi mereka mula berubah,” katanya, yang sudah 4 tahun di Malaysia.

Jaga macam tuan puteri

Linda berkata, kepercayaan majikan dan pelanggan dan ikhlas berkhidmat amat penting dalam bidang ini maka beliau sentiasa menjaga disiplin agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku.

“Dari awal melangkah masuk ke pintu rumah mereka, kita anggap pelanggan sebagai keluarga. Kita jaga macam tuan puteri, kita buat yang terbaik,” katanya.

“Saya dan rakan-rakan yang lain patuh dengan apa yang ada di dalam pakej diambil pelanggan tetapi selalunya kita berikan lebih dari yang sepatutnya. Kita tolong lipat kain, cuci lantai dan memasak untuk ibu berpantang serta seluruh ahli keluarga.

“Jika kita menjaga dengan sepenuh hati, insyaallah, tuhan permudahkan urusan menjaga keluarga dan memurahkan rezeki keluarga kami pula.”

Beliau akui penjaga ibu juga perlu tangani sendiri karenah ibu berpantang dan ahli keluarga pelanggan. “Jika ada yang kita tidak dapat atasi, kita laporkan kepada Suzita.”

Linda berkata, detik berpisah dengan pelanggan sentiasa menjadi perkara yang memeritkan bagi dirinya, si ibu dan anak-anak pelanggan. Bahkan ada yang merayu kepadanya supaya bertukar kerja.

“Kadang-kadang kami tidak putus di situ sahaja, masih ada ibu-ibu yang meminta pendapat dan pandangan dari kami, sekiranya anak-anak mereka ada masalah seperti anak tidak boleh tidur,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments