Larangan festival arak kekal, kata menteri
Festival arak menyalahi undang-undang dan akan berlaku penjualan arak di tempat terbuka, kata Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata DBKL tetap tidak akan mempertimbang semula penolakan permohanan penganjuran pesta itu sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga akan berlaku penjualan arak di tempat terbuka.
“Mereka boleh mengadakan pesta itu di hotel, pub atau restoran. Saya tidak kisah. Tempat terbuka tidak akan dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Minggu Perpaduan dan My Rukun Negara 2017 Peringkat Kuala Lumpur serta #V4KL@Unity) di sini hari ini.
Beliau berkata aspek keselamatan perlu diletak di bawah kredibiliti dan tanggungjawab pihak polis yang jelas turut tidak menyokong pesta tersebut.
“Dia (penganjur) kata cukup selamat, tidak kan jadi apa-apa, itu dia kata, tapi keselamatan rakyat tanggungjawab kerajaan, ” tambahnya.
Pihak penganjur meminta DBKL untuk mempertimbang semula keputusan mereka menolak program itu kerana pihak penganjur mendakwa telah mengambil langkah keselamatan kepada para pengunjung.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pesta itu dicadang diadakan selama 2 hari mulai 6 Oktober di Publika Shopping Gallery di sini.