Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

45 saksi dipanggil SPRM bantu siasatan seleweng dana

 | October 12, 2017

Ketua pesuruhjayanya SRPM berkata pihaknya akan memanggil saksi lain dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Dzulkifli-AhmadSEMPORNA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 45 saksi termasuk 7 yang ditahan reman berhubung penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan memanggil saksi lain dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil semua yang terlibat, termasuk sesiapa yang boleh membantu siasatan kerana isunya kita melihat lebih 70 projek di Sabah melibatkan dana peruntukan RM1.5 bilion diseleweng.

Ini termasuk tangkapan, cuma beri masa kepada SPRM untuk jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Intan hari ini.

Berhubung LRA Sungai Intan itu, katanya SPRM selaku keluarga angkat kepada Kampung Sungai Intan turut kecewa kerana projek yang dinanti penduduk selama 30 tahun itu berakhir dengan LRA tersebut tidak berfungsi ekoran kekurangan sumber air.

“Penduduk kampung sehingga kini terpaksa bergantung dengan air perigi dan menerima bekalan air terawat hanya dalam sekali atau 2 kali seminggu,” katanya.

LRA Sungai Intan yang dinaik taraf dan siap pada tahun lalu itu antara 70 projek yang disiasat SPRM.

Selain projek LRA Sungai Intan itu, Dzulkilfi berkata terdapat projek lain di Semporna yang turut menjadi perhatian pihak SPRM.

“Memang ada, tapi SPRM Sabah akan kemas kini perkara ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong bahawa partinya bersedia disiasat SPRM, Dzulkifli berkata siasatan pihaknya bukan berdasarkan parti politik tetapi melihat kepada penglibatan salah guna kuasa dan rasuah terhadap peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

“Lihat dari sudut tangkapan bukan anggota Parti Warisan Sabah sahaja yang di tahan. Pendirian siasatan SPRM adalah berdasarkan keterangan yang diperoleh, dan akan diperoleh tanpa melihat sudut penglibatan parti politik kerana isu rasuah dan salah guna kuasa adalah lebih daripada politik,” katanya.

Sehingga kini SPRM menahan 7 individu terdiri daripada 4 ahli politik, 2 kontraktor serta seorang penjawat awam sebuah kementerian persekutuan.

Dzulkifli berkata selepas Sabah, SPRM turut memfokuskan siasatan ke negeri lain.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments