Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Penjualan Grand Plaza kukuhkan kewangan Felda, kata Shahrir

 | October 12, 2017

Terdapat 54 pihak menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Serviced Apartments dan proses penjualan sedang dalam peringkat akhir.

SHAHRIR-FELDA-2

KUALA LUMPUR: Penjualan Pangsapuri Servis Grand Plaza di London merupakan antara inisiatif penyusunan semula aset-aset dan langkah penstrukturan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata keputusan itu juga dilakukan susulan keputusan Felda untuk menjual aset-aset yang tidak berkaitan dengan operasi teras agensi pembangunan itu.

“Saya yakin bahawa penjualan hotel ini sejajar dengan hala tuju Felda untuk ‘balik asal’ dan akan memberi impak yang positif kepada kewangan Felda.

“Ini juga dapat membantu Felda untuk fokus kepada pengurusan ladang peneroka bagi memastikan pendapatan peneroka yang tinggi, sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka terbela,” katanya dalam kenyataan menjelaskan dakwaan Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli hari ini.

Shahrir berkata sehingga kini, terdapat 54 pihak menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Serviced Apartments dan proses penjualan sedang dalam peringkat akhir, dengan Felda perlu meneliti tawaran yang baik dan munasabah.

Berhubung dakwaan Rafizi mengenai perbelanjaan “misteri” operasi berjumlah RM80 juta, beliau berkata dakwaan tersebut tidak berasas kerana komponen utama perbelanjaan pentadbiran hotel itu adalah bayaran kadar pajakan tahunan.

Kadar pajakan tersebut merupakan bayaran sewaan yang perlu dibuat oleh FIC Grand Plaza Ltd, iaitu sebuah syarikat yang mengurus perniagaan bagi pihak syarikat induk, Felda Investment Corporation (FIC) UK Properties Sdn Bhd (syarikat cabang pelaburan Felda).

Beliau berkata Felda adalah badan berkanun yang mempunyai sumber pendapatan dan kewangan tersendiri tanpa mendapat pembiayaan kos operasi daripada kerajaan persekutuan sejak 1996.

“Ini bermakna perjalanan operasi Felda tidak langsung ditanggung oleh pembayar cukai mahu pun peneroka,” katanya, sekali gus menolak dakwaan bahawa Felda bakal menanggung kerugian susulan penjualan hotel itu.

Dakwaan bahawa Felda membeli Grand Plaza Serviced Apartment tersebut melalui pinjawan KWSP juga adalah sama sekali tidak benar, kata Shahrir.

Hotel itu dibeli menerusi hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd pada 2012, menggunakan dana dalaman Felda, dan agensi itu tidak menanggung sebarang kos bayaran faedah, katanya.

Menurut Shahrir, selain penyusunan semula aset, langkah-langkah penstrukturan dan pengukuhan kewangan FELDA turut melibatkan penjimatan kos dan meningkatkan keupayaan dalaman; mendapatkan Dana Persekutuan bagi projek-projek infrastruktur di rancangan-rancangan Felda; serta penstrukturan pinjaman sedia ada.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments