Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Cabul kanak-kanak: Warga India dipenjara 2 tahun, 2 sebatan

 | October 13, 2017

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 12 tahun 5 bulan dengan niat hendak mencabul kehormatannya di Taman Ukay Perdana.

pencuci-kereta-warga-India-kena-penjara-cabul-kanak-perempuanKUALA LUMPUR: Seorang pencuci kereta warga India dijatuhi hukuman penjara 2 tahun dan 2 sebatan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas didapati bersalah mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tinggal di kawasan perumahannya.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas S Panneerselvam, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Narainasami SM Alagu yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan jaminan terhadap tertuduh dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM7,000 dengan 2 penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran 2 kali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga rayuan selesai.

Panneerselvam didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 12 tahun 5 bulan, dengan niat hendak mencabul kehormatannya di tepi jalan berhampiran pasar mini 99 Speed Mart di Taman Ukay Perdana pada 9.20 malam, 16 Ogos 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana 2 daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa seorang diri berjalan kaki pergi ke pasar mini 99 Speed Mart dan terjumpa tertuduh yang bertanyakan mangsa mahu ke mana.

Mangsa yang mengenali tertuduh dengan panggilan ‘uncle’ memberitahu dia mahu ke pasar mini untuk membeli barangan sebelum pergi ke kedai itu.

Setelah mangsa selesai membeli barangan dan keluar dari pasar mini untuk pulang ke rumah, tertuduh sekali lagi menegur mangsa dan memberitahu dia mahu belanja mangsa makan dan minum serta mengajaknya keluar berjalan-jalan namun mangsa menolak dan terus berjalan pulang.

Tertuduh bagaimanapun mengekori mangsa dan secara tiba-tiba memeluk dan meraba mangsa dari belakang dan mangsa yang ketakutan berlari pulang ke rumah sambil menangis lalu memberitahu kejadian itu kepada kedua ibu bapanya sebelum membuat laporan polis.

Ketika rayuan tertuduh yang sudah berkahwin dan isterinya berada di India memohon hukuman denda dikurangkan, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman berat mengambil kira tertuduh merupakan warga asing dan kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan kanak-kanak selain perbicaraan penuh berlangsung dan dia didapati bersalah.

Lebih 5 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan termasuk tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 9 Mei lepas.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments