Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Mahkamah tambah hukuman lelaki Rohingya lindungi pendatang

 | October 13, 2017

Mahkamah Rayuan menambah hukuman penjaranya daripada 3 tahun kepada 5 tahun atas kesalahan melindungi 20 pendatang Bangladesh dan Myanmar.

RohingyaPUTRAJAYA: Seorang lelaki pelarian Rohingya terpaksa kembali semula ke penjara selepas Mahkamah Rayuan menambah hukuman penjaranya daripada 3 tahun kepada 5 tahun atas kesalahan melindungi 20 pendatang Bangladesh dan Myanmar yang diseludup ke negara ini.

Panel 3 hakim dianggotai Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap Mohd Hussein Mohd Kassim.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar secara nyata tidak mencukupi… rayuan pihak pendakwaan dibenarkan,” kata Mohtarudin yang mempengerusikan sidang panel itu.

Beliau memerintahkan Mohd Hussein, 30, seorang pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), menjalani hukuman itu daripada tarikh dia ditangkap pada 2 Julai 2015.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2 Julai tahun ini selepas menjalani hukuman penjara 3 tahun, dia ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah, sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan.

Sementara itu, hakim Zakaria berkata sebagai seorang pelarian sendiri, Mohd Hussein harus bersyukur kerana Malaysia memberi perlindungan kepadanya tetapi sebaliknya dia terbabit dengan sindiket penyeludupan manusia.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Alor Setar atas tuduhan melindungi 20 pendatang Bangladesh dan Myanmar berusia antara 18 hingga 54 tahun di Lot 84, Jalan Titi Haji Idris, Kampung Alor Sentap, Pokok Sena, Kedah pada jam 4.44 pagi, 2 Julai 2015.

Pada 15 September lepas, Mahkamah Rayuan turut menambah hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 5 tahun terhadap rakannya, Muhammad Yunus, 32, atas kesalahan sama.

Timbalan Pendakya Raya, Anas Bashari bertindak bagi pihak pendakwaan manakala Mohd Hussein diwakili peguam Rafidi Mohamad.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments