Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pakar: Mahmud Ahmad mungkin emir IS baharu di Asia Tenggara

 | October 16, 2017

Seorang lagi calon untuk kepimpinan IS serantau ialah pemimpin pengganas dari sebuah kumpulan Filipina.

Zachary-Abuza

KOTA KINABALU: Pengganas warga Malaysia paling dikehendaki, Mahmud Ahmad, perlu diperhatikan kerana beliau mungkin emir IS baharu di Asia Tenggara, kata pakar.

Tampuk kepimpinan gerakan militan itu kosong selepas kematian emir IS di Asia Tenggara, Isnilon Hapilon, yang juga memimpin kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Seorang lagi pemimpin militan, Omar Maute, pengasas bersama kumpulan Maute, yang bertempur di samping Abu Sayyaf melawan tentera Filipina dalam kepungan Marawi, turut terbunuh.

Abangnya, Abdullah, yang bersama mengasaskan gerakan itu, terbunuh dalam pertempuran sebelum ini.

Perbualan mengenai emir baharu bagi rantau Asia Tenggara dilaporkan di saluran IS.

“Dengan kematian Isnilon Hapilon dan adik-beradik Maute, sukar untuk tentukan orang lain untuk jawatan itu,” kata Zachary Abuza, seorang profesor isu keselamatan Asia Tenggara di Maktab Perang Kebangsaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Empat orang Asia Tenggara yang tertinggi di Syria sudah mati terbunuh. Hanya tinggal Mahmud, itu pun kalau dia berjaya melarikan diri dari Marawi.”

Mahmud, seorang memiliki PhD pengajian Islam daripada sebuah universiti utama di Malaysia, seorang yang dihormati militan, yang menggelarnya doktor.

Mahmud adalah “ustaz” yang akan berceramah mengenai jihad kepada tebusan di dalam masjid yang menjadi kubu mereka, kata seorang bekas tebusan kepada FMT.

Mahmud dilaporkan dilatih di kem al-Qaeda di Afghanistan.

“Kalau Mahmud masih hidup, dia perlu diperhatikan. Dia mempunyai hubungan dengan IS pusat atau saki-bakinya, dan kemungkinan memainkan peranan dalam mewujudkan penerbitan media IS di Marawi dan mendapat latihan agama atau teologi,” kata Abuza.

Abuza percaya seorang pemimpin rantau mungkin dipilih daripada kalangan Ansar al-Khalifah Philippines (AKP), sebuah lagi kumpulan yang mengikut IS.

Sebelum kumpulan Maute menerjah ke muka depan, AKP dikatakan kumpulan yang perlu diperhatikan kerana hubungan mereka dengan militan di Indonesia.

“Saya juga akan perhatikan kepimpinan AKP,” kata Abuza. “Mereka tidak terjejas dalam pertempuran terbaharu dan mempunyai hubungan yang lebih kuat dengan rangkaian jihad di Indonesia.”

“Mereka mungkin menunggu untuk mengambil kesempatan.”

Pakar itu memberi amaran pengikut setia Maute mungkin berkumpul di kawasan lain selepas ditekan serangan hebat pihak tentera.

“Saki-baki Maute mungkin boleh berkumpul semula kerana mendapat perlindungan di kawasan sekitar.

“Sekurang-kurangnya mereka dilindungi secara pasif oleh pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Abdullah Macapagar yang menghalang campur tangan tentera, atau memberikan perlindungan aktif kepada mereka,” kata Abuza.

Menurut Abuza, pasti akan ada seseorang yang akan ke depan untuk menjadi pemimpin.

“Kebimbangan saya ialah obsesi kerajaan mencantas kepimpinan gerakan itu,” katanya.

“Seseorang pasti ke depan. Itu sentiasa berlaku. Ada yang lebih berkarisma dan lebih wibawa memimpin berbanding orang lain.

“Namun, pemimpin yang kurang wibawa boleh terus bertahan selagi ada kemasukan rekrut yang berterusan.

“Melihat kepada bilangan kumpulan yang berpaling tadah daripada MILF, rekrut tidak menjadi masalah sekarang ini.”

Abuza juga bimbang dengan sikap mudah puas hati kerajaan yang mencetuskan konflik itu pada mulanya.

“Ada kebimbangan tentera Filipina akan mengisytharkan IS tewas dan kemudian membuat kesilapan,” katanya.

“Saya faham tentera sudah bertempur selama 4.5 bulan, tetapi kita perlu khuatiri sikap mudah puas hati kerajaan Filipina. Sikap itu yang membawa kepada masalah ini pada mulanya.”

Konflik tercetus pada 23 Mei apabila pasukan keselamatan cuba menangkap Hapilon di Marawi tetapi mereka dilaporkan memandang rendah kekuatan militan bersenjata.

Lebih 1,000 orang, kebanyakannya militan, terbunuh sejak itu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments