Bos AirAsia dakwa media putar belit detik cemas QZ535
Tony Fernandes mempertahankan anak kapal penerbangan AirAsia Indonesia susulan laporan mengatakan mereka panik seperti didakwa penumpang.
Beliau menafikan laporan yang mendakwa anak kapal panik atau tidak membantu penumpang apabila penerbangan dari Perth, Australia ke Bali, Indonesia mengalami “masalah teknikal” yang memaksa juruterbang menurunkan pesawat dari 32,000 kali ke 10,000 kaki.
Tony di Twitter hari ini menulis: “Mengecewakan apabila media memutar belit cerita. Juruterbang dan anak kapal kami melaksanakan tugas dengan luar biasa. Pesawat hilang tekanan berlaku kepada kebanyakan pesawat.
“Anak kapal tidak menjerit tetapi memberitahu penumpang supaya duduk, mengikat tali pinggang keledar dan memakai topeng oksigen untuk keselamatan.
“Juruterbang secara terkawal menurunkan pesawat ke ketinggian yang selamat di mana oksigen tidak diperlukan dan pesawat mendarat dengan selamat.”
Menekankan peristiwa itu bukan kes terpencil, Fernandes berkata beliau pernah melalui kejadian sama sebelum ini.
“Penyahtekanan biasa berlaku. Saya pernah menaiki pesawat syarikat penerbangan lain yang mengalami keadaan itu dan juruterbang melaksanakan tugas dengan baik dan dilatih untuk menanganinya.”
Beliau juga menonjolkan mesej pengguna Twitter yang menyokong pandangannya.
Seorang pengguna, @Edmundq berkata: “Ia seperti mengambil masa 10 minit untuk turun ke 22,000 kaki. Ia cukup baik sebenarnya. Tiada penurunan tiba-tiba seperti yang dikatakan @tonyfernandes.”
“Tidak, @AirAsia #QZ535 tidak menjunam, ia dikawal untuk turun ke tahap penumpang boleh bernafas sendiri. 20,000 kaki dalam 11 minit. Media harus semak semula laporan mereka,” kata @chancheekhen.
Pada Ahad, penerbangan yang mengambil masa 3 jam 45 minit berlepas dari Perth pada 11.35 pagi dan 25 minit selepas berlepas mengalami kecemasan, semasa masih berada di ruang udara Australia Barat.
Media Australia melaporkan penurunan altitud menyebabkan topeng oksigen terkeluar dari siling pesawat, yang kerana ketakutan mengharapkan bantuan anak kapal.
Laporan itu berkata sebahagian daripada 145 penumpang penerbangan itu mengadu anak kapal tidak membentu semasa kecemasan.
“Keadaan semakin panik kerana kelakuan anak kapal yang menjerit, nampak ketakutan dan terkejut.
“Kami harapkan mereka membantu tapi tidak, kami lebih bimbang apabila mereka panik,” kata penumpang Clare Asker menurut laporan itu.
Seorang lagi penumpang berkata lebih menakutkan apabila tidak tahu apa yang sedang berlaku.
“Kami tidak tahu apa yang berlaku kerana semua rakaman suara dalam pesawat itu bercakap dalam semua bahasa kecuali bahasa Inggeris,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Penerbangan itu berpatah balik ke Perth, di mana penumpang kemudian menaiki pesawat yang disediakan oleh syarikat penerbangan tambang murah itu ke Bali.