Putrajaya ambil alih PPR Lembah Subang 1, tidak akan bayar RM60 juta
Selangor tidak berhak kerana PPR itu terletak atas tanah milik kerajaan persekutuan, kata Noh Omar.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata pengambilalihan diteruskan walaupun perbincangan dengan kerajaan Selangor menemui kebuntuan.
“Ini tanah (PPR Lembah Subang 1) KPKT punya. Kita bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk urus dan kutip sewa setiap bulan tetapi mereka tidak gunakan duit itu untuk kegunaan penyelenggaraan.
“Sebaliknya kita (KPKT) yang keluarkan duit untuk bayar kos penyelenggaraan. Kita sedia disaman dan akan buat perjanjian baru untuk bayaran sewa selepas ini,” katanya kepada pemberita di PPR Lembah Subang 1 hari ini.
Sebelum, kerajaan Selangor menuntut Putrajaya membayar RM60.6 juta yang dibelanjakan kerajaan negeri dan MBPJ sejak mengambil alih PPR itu pada 2003.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Abdul Samad mendakwa KPKT masih berdiam diri dengan syarat itu, sehinggalah pengumuman oleh Noh Omar hari ini.
Noh Omar berkata keputusan itu diambil selepas 2 pertemuan dengan kerajaan negeri gagal menemui penyelesaian. Menteri itu berkata Selangor tidak berhak membuat tuntutan itu kerana PPR Lembah Subang 1 terletak atas tanah milik kementerian.
“Kita sudah jumpa 2 kali tetapi tidak ada hasil malah kita diminta bayar RM60 juta. Walhal mereka sudah kutip wang sewa daripada penduduk PPR Lembah Subang 1 sejak 2003.
“Dulu mereka bayar RM124 sebulan. Tetapi sejak kerajaan negeri di bawah PKR diambil alih pada 2008 mereka naikkan sewa RM250. Jadi dalam 14 tahun kutipan sewa diambil MBPJ sudah lebih RM60 juta. Kita minta mereka pulang balik,” katanya.
Penduduk dilaporkan tertanya-tanya masa depan PPR Lembah Subang 1 selepas Putrajaya mengumumkan akan mengambil alih penempatan itu pada 1 Januari lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Selangor mendakwa keadaan menjadi kelam kabut apabila Putrajaya membuka pejabat di PPR tanpa persetujuan kerajaan negeri.