Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Di mana Mahmud Ahmad, pengganas Malaysia paling dikehendaki?

 | October 18, 2017

Mahmud dipercayai lebih berwaspada daripada Isnilon Hapilon dan Omar Maute yang terbunuh baru-baru ini.

Mahmud-Ahmad_isisKOTA KINABALU: Ketika butiran kematian emir IS Asia Tenggara, Isnilon Hapilon, di selatan Filipina mulai muncul, ramai pihak di seluruh dunia tertanya di mana orang kanannya, seorang warga Malaysia bernama Mahmud Ahmad, ketika ini.

Bekas pensyarah itu jarang dilaporkan di media sebelum Isnilon dan seorang lagi ketua militan, Omar Maute, terbunuh dalam serangan hendap pasukan khas Filipina tengah malam Isnin.

Pensyarah pengajian Islam berusia 39 tahun itu menarik perhatian media Malaysia dan mendapat perhatian khusus di Filipina.

Kini, media barat termasuk Washington Post dan New York Times mula giat melapor individu yang tidak mereka ketahui sebelum ini.

Selepas terbongkar cerita kematian Isnilon dan pengasas bersama kumpulan milian Maute, Omar, Mahmud diramal akan dipilih untuk menggantikan Isnilon sebagai pemimpin IS di Asia Tenggara.

Zachary Abuza, seorang pakar keselamatan Asia Tenggara di Maktab Perang Kebangsaan di Washington berkata Mahmud mempunyai kelayakan untuk menjadi emir IS.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan seorang rakyat Filipina, yang mempunyai rangkaian serantau, terutamanya di Indonesia, akan mengisi kekosongan itu.

Pada Selasa, jurucakap tentera Mejar Jeneral Restituto Padilla memberitahu pemberita mereka percaya seramai 20-30 militan mash berkubu di bandar Marawi, Mindanao.

Dipercayai 6-8 militan warga asing bersama mereka, antaranya Mahmud yang dipercayai membiayai pertempuran itu.

Padilla berkata operasi mengusir keluar saki baki militan sedang dijalankan. Kemudian pada hari yang sama, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan bandar Marawi berjaya dibebaskan dari pengganas.

Bagaimanapun, pengumuman Duterte itu beberapa jam selepas satu letupan dan tembak-menembak kedengaran, lapor agensi berita AFP.

Penganalisis dan pakar, termasuk Abuza, khuatir kerajaan terburu-buru membuat pengumuman.

Pada awalnya, pihak berkuasa berkata mereka berjaya mendapatkan Isnilon dan Omar hasil daripada maklumat seorang tebusan wanita yang berjaya melepaskan diri, dan membawa kepada serangan hendap oleh Kompeni Renjer Peninjau ke-8, polis dan unit perisai tentera darat.

Kemudian, pihak berkuasa mendedahkan Isnilon dan Omar menawarkan sejumlah wang yang banyak kepada tebusan untuk mengaturkan beberapa bot untuk mereka melepaskan diri daripada operasi tentera dengan menyeberangi tasik di Marawi.

Dipercayai terdapat beberapa lagi militan bersama mereka sebelum usaha melarikan diri itu digagalkan kerana beberapa militan gagal membawa lari mayat Isnilon dan Omar.

Tidak jelas sama ada Mahmud antara mereka yang cuba mengambil mayat itu, yang digagalkan oleh tembakan daripada pasukan komando.

Sumber di Marawi memberitahu FMT, Mahmud mungkin berada di lokasi lain semasa serangan hendap.

Hari ini, Padilla membuat pendedahan yang mengejutkan: Isnilon dan Omar cuba meninggalkan ahli kumpulan mereka untuk menyelamatkan diri sendiri pada malam itu.

Maklumat itu pasti akan menjejaskan moral militan yang masih bertahan, namun penganalisis berkata kerajaan Filipina menggunakan pendekatan psikologi untuk memujuk militan supaya menyerah diri.

Sumber bagaimanapun berkata semua militan terbabit mungkin sudah merancang untuk melarikan diri dan berkumpul semula di tempat lain.

Dengan itu, Marawi kini mungkin bebas daripada pengganas kerana mereka mahu melancarkan “jihad” di tempat lain, dan kebarangkalian itu dalam pertimbangan kerajaan Filipina.

“Situasi itu menjadi tentu bentuknya dengan cerita Mahmud atau seorang militan Filipina dijulang-julang sebagai emir IS di rantau itu.”

“Mereka tidak terburu-buru untuk melantik seorang ketua. Mereka gerakan longgar yang boleh menerima seorang pemimpin ad hoc. Mereka boleh lantik seorang ketua dan beritahu IS pusat untuk mengesahkan pelantikan itu dan mengumumkannya jika mereka mahu,” kata sumber itu.

Sama ada militan masih bertahan atau sudah melarikan diri, Mahmud perlu diperhatikan, kata Abuza.

Mahmud dilaporkan dilatih di kem al-Qaeda di Afghanistan semasa beliau menuntut di Universiti Islam Islamabad di Pakistan.

Mahmud juga bertanggungjawab untuk mengatur militan Malaysia yang mahu bertempur di Syria dan berlatih di selatan Filipina sebelum pertempuran Marawi.

Apabila FMT menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun selepas terbongkar cerita kematian Isnilon dan Omar, beliau berkata Mahmud masih hidup.

Tetapi apabila ditanya di mana Mahmud ketika ini, Fuzi enggan menjawab pertanyaan itu.

Beliau berkata pihak berkuasa Filipina sentiasa berhubung dengan Malaysia mengenai kedudukan Mahmud.

Mahmud seorang yang sangat terpelajar dan seorang sarjana. Seorang bekas tebusan memberitahu FMT Mahmud sangat dihormati dan menganggotai kumpulan dalaman pemimpin militan.

Latar belakang pendidikannya menjadikan Mahmud seorang militan yang lebih berwaspada berbanding Isnilon dan Omar.

Di mana Mahmud berada ketika ini, hanya masa yang akan tentukan, namun yang pasti Mahmud tidak akan melakukan kesilapan mempercayai tebusan dengan rancangan mendapatkan kenderaan untuk melarikan diri.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments