Ustaz haramkan khidmat gunting rambut bukan Islam anjur ziarah dakwah
Shahul Hamid yang juga merupakan ‘tok guru’ Pertiga Malaysia menganjurkan ziarah di Hospital Pulau Pinang hari ini.
Menerusi poster di Facebook miliknya, Shahul yang juga merupakan ‘tok guru’ Pertiga Malaysia menganjurkan ziarah di Hospital Pulau Pinang.
Timbalan Presiden Pertiga Malaysia Datuk Ahmad Azhar Othman ketika dihubungi FMT menyatakan, beliau belum mendapat perincian maklumat berkenaan ziarah berkenaan kerana berada di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ahmad Azhar, atau lebih dikenali sebagai Awie, berkata, program Pertiga menjurus ke arah kebajikan seperti membantu golongan gelandangan.
“Setiap minggu kita hantar makanan kepada gelandangan dan dah beberapa tahun kita buat program ini. Mangsa banjir dan sebagainya pun dulu kita hantar berbelas lori di kawasan Temerloh dan Kelantan. Ada bencana atau permasalahan kita akan turun bantu buat sumbangan.
“Kita juga buat ‘jiwa rempit’, maknanya kita membantu remaja ini jangan merempit,” katanya, dan mendedahkan badan bukan kerajaan itu mempunyai 100,000 ahli berdaftar.
Awie berkata Pertiga juga menganjurkan kelas fardhu ain pada setiap minggu di Pulau Pinang. “Dalam Pertiga ini juga ada para ustaz yang dilantik dan bertauliah untuk mengajar, memberi ceramah dalam Pertiga,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah enggan mengulas mengenai lawatan Shahol ke Hospital Pulau Pinang.
Shahul dalam ucapannya dimuat naik antara 2015 dan bulan lalu mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, di samping mengharamkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam.
“Sejak saya belajar di pondok dan masuk tingkatan 1, sampailah sekarang, saya tak pernah bagi kepala saya kepada orang-orang kafir untuk pegang. Walaupun tak ada dalil dia pegang itu haram…adalah lebih baik kita cari kedai Islam sekurang-kurangnya kita bantu ekonomi orang Islam,” katanya dalam ceramah yang dimuat naik 2 tahun lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Dalam satu lagi klip yang dimuat naik bulan lalu, Shahul menganggap budaya mengucapkan “Selamat Hari Jadi” sebagai jahiliah, dan tidak setuju dengan amalan menjawab telefon dengan perkataan “Hello”.