Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

BR1M hanya saguhati, cukup makan seminggu, kata anak muda

 | October 20, 2017

Seorang graduan IPTA menggesa kerajaan menurunkan kembali umur persaraan 60 tahun kepada 55 tahun supaya orang muda berpeluang berkhidmat dalam sektor awam.

BR1MPETALING JAYA: Menjelang pembentangan Bajet 2018, generasi muda menggesa kerajaan meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menangani kenaikan kos sara hidup serta menambah peruntukan bagi sektor pendidikan supaya pelajar dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Seorang graduan di sebuah universiti awam tempatan, Nur Hafizah Ramdan, 24, berharap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh meringankan beban golongan muda yang masih belajar untuk jangka panjang.

“BR1M macam saguhati. Pada saya, (BR1M) tidak memberi apa-apa kesan (jangka panjang). Isi minyak, makan seminggu, selepas itu habis.

“Bantuan dalam jangka panjang mungkin boleh beri kepada pelajar yang ingin menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA), misalnya bayar yuran semester pertama untuk ringan beban mereka sebelum dapat pinjaman,” kata penerima BR1M itu kepada FMT.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan akan membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Kerajaan menerusi Bajet 2017 menawarkan baucar buku bagi menggantikan kad debit pelajar sebanyak RM250 bagi memudahkan 1.3 juta pelajar membeli buku, alat tulis, alatan komputer dan akses internet.

Kerajaan turut memperuntukkan RM4.3 bilion untuk pemberian biasiswa, termasuk RM1.6 bilion menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), RM2 bilion bagi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Pendidikan Tinggi (RM250 juta), Kementerian Pendidikan (RM194), Kementerian Sumber Manusia (RM28 juta) serta Kementerian Belia dan Sukan (RM21 juta).

Bagi meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi ke taraf global, kerajaan menyalurkan RM7.4 bilion kepada 20 universiti awam.

BR1M untuk orang bujang berpendapatan kurang RM2,000 pula dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Mengulas lanjut, Hafizah berharap kerajaan menambah kuota di bawah Program MyBrain15 untuk menaja pelajar peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Katanya, kebanyakan pelajar yang tidak mendapat biasiswa seperti MyBrain terpaksa bekerja ketika menyambung pelajarannya.

“Ada pelajar yang sambung belajar tidak dapat pinjaman, perlu bekerja untuk menanggung pembayaran yuran dan kos sara hidup mereka ketika belajar.

“Ini juga menyebabkan fokus mereka dalam pembelajaran terganggu. Harap dapat kurangkan juga pembayaran yuran terutama untuk pelajar tempatan yang ingin menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan PhD,” katanya.

Kerajaan menerusi program MyBrain15 menyasarkan untuk melahirkan 60,000 pemegang PhD menjelang 2023.

Ke mana hasil kutipan GST?

Muhammad Asyraf Fitri, 24, graduan IPTA menggesa kerajaan menurunkan kembali umur persaraan 60 tahun kepada 55 tahun.

“Ini memberi peluang untuk graduan bekerja dalam sektor awam. Jika tidak, susah untuk mendapat peluang bekerja dalam sektor awam,” kata penganggur itu.

Beliau turut memuji pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi mempersoalkan ke manakah hasil kutipan cukai baharu itu.

“Kita selalu lihat setiap tahun atau bulan diumumkan jumlah wang GST yang dikutip. Tetapi, apa rancangan jangka panjang pengumpulan GST 6% ini,” soalnya yang mencadangkan kerajaan menggunakan hasil kutipan GST ke atas sektor teras seperti pendidikan dan sosio ekonomi.

Beri kelonggaran bayar hutang PTPTN

Penuntut di sebuah universiti awam tempatan, Noorziana Abdul Rahim, 25, berharap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi kelonggaran kepada pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat sarjana, melangsaikan hutang mereka.

“Macam saya yang sedang menyambung pelajaran dalam peringkat sarjana perlu membayar hutang pinjaman PTPTN ketika belajar di peringkat ijazah sarjana muda sebelum ini.

“Kami harap PTPTN boleh memberi penangguhan kepada mereka yang sedang belajar dalam peringkat sarjana sebab ada yang tidak bekerja dan tidak mempunyai wang untuk membayar hutang PTPTN,” katanya.

Mulai 22 Oktober 2016 hingga Disember tahun ini, PTPTN menawarkan diskaun 15% ke atas penyelesaian penuh baki pinjaman, potongan 10% untuk sekali bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dan diskaun 10% bagi bayaran melalui potongan gaji atau direct debit.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments