Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ibrahim Ali: Kejar populis, gadai kepentingan nasional rugikan BN

 | October 21, 2017

Kata presiden Perkasa, jangan kerana mahukan undi atau kerana popular dibuat kenyataan atau keputusan membelakangkan kepentingan nasional atau perlembagaan.

ibrahim-ali-bendera-bn-banyak-malaysiaKUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak pemimpin parti politik terutamanya kerajaan pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) supaya meletakkan kepentingan nasional dalam mendokong perlembagaan negara, bukannya tunduk kepada tekanan populis demi menjaga kepentingan politik.

Presiden Perkasa, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, tindakan pemimpin politik terlalu fokus mempertahankan kedudukan politik tidak akan bertahan lama jika membelakangkang kepentingan nasional.

“Jangan kerana mahukan undi atau kerana popular dibuat kenyataan-kenyataan atau keputusan membelakangkan kepentingan nasional atau perlembagaan.

“Kepentingan politik adalah sementara tetapi survival negara adalah sesuatu yang perlu kita pertahankan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perkasa kawasan Lembah Pantai.

Jelas Ibrahim, akibat pemerintah yang diwakili Umno, MCA dan MIC terlalu tunduk dengan tekanan yang dibuat pembangkang, terutamanya DAP memakan diri.

Katanya, dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP akan terus memainkan peranan agar matlamat mereka tercapai, namun kecenderungan kerajaan terutamanya MCA untuk tunduk dengan perjuangan mereka bagi meraih undi dibimbangi hanya akan memudahkan kerja parti pembangkang.

Beliau memberi contoh isu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diperjuangkan selama ini oleh pembangkang termasuk DAP akhirnya dimansuhkan kerajaan demi meraih populariti dalam kalangan pengundi.

Katanya langkah kerajaan memansuhkan ISA sebenarnya tidak menguntungkan parti pemerintah, sebaliknya rakyat melihat ia kejayaan pembangkang membuat tekanan ke atas pemertintah.

Akibat terlalu terdesak meraih kembali sokongan kaum Cina menyebabkan tindak tanduk MCA kebelakangan ini menyerupai perjuangan DAP.

“Sekarang ini apa yang DAP bantah, MCA akan bantah, MCA sekarang telah terperangkap dengan tekanan DAP untuk meraih kembali sokongan kaum Cina,” katanya.

Ibrahim berkata kritikannya itu tidak menyokong mana-mana parti baik dari kerajaan atau pembangkang.

Bagaimanapun Ibrahim berkata, walaupun MCA dilihat cenderung menyerupai perjuangan DAP namun parti itu masih menghormati Umno mengepalai komponen BN tidak seperti DAP yang dilihat ingin menjadi ketua dalam Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata tindakan sekutu Pakatan Harapan tunduk kepada DAP boleh dilihat dengan ketara sambil memberi contoh isu melibatkan pesta arak di Selangor dan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Saya mengambil contoh Tan Sri Muhyidin Yassin dulu dia Menteri Pendidikan dia tak sokong UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu). Sekarang (bersama Pakatan Harapan) dia dah mula goyang.

“Apa sahaja yang disuarakan Pakatan Harapan akan bercanggah dengan DAP kerana tidak selaras dengan kehendak mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim mendesak pihak kerajaan menangguhkan keputusan untuk meluluskan UEC bagi tujuan populis sebelum pilihan raya kerana kumpulan itu meramalkan nasib kerajaan akan sama seperti keputusan menghapuskan ISA di mana rakyat tetap tidak memberi undi kepada BN dan mengangkat pembangkang sebagai hero.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments