Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Polis siasat laporan FMT tentang remaja bertempur di Marawi

 | October 21, 2017

Siasatan itu menyusuli laporan eksklusif FMT mengenai seorang remaja, 13, didakwa bertempur bersama bapanya di selatan Filipina.

mohamad-fuzi-harun-amin-baco-son-1KOTA KINABALU: Polis akan menyiasat laporan FMT tentang seorang remaja yang bertempur melawan tentera Filipina bersama bapanya, seorang militan warga Malaysia, di bandar Marawi, selatan Filipina.

Semalam FMT membongkar cerita mengenai remaja yang dikatakan berusia sekitar 13 tahun itu, yang menurut tebusan bertempur menentang pasukan keselamatan di bandar itu.

Pihak berkuasa Filipina mengumumkan mereka sedang menentukan sama ada bapa remaja itu, seorang militan dari Sabah dan tidak dinamakan FMT bagi melindungi identiti remaja itu, masih hidup di Marawi.

“Kita tidak pernah dengar perkara ini. Tiada siapa beritahu kita mengenai perkara ini, tapi kita akan siasat laporan kamu,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun kepada FMT.

“Ada kemungkinan beberapa orang dalam keluarga itu menyokong apa yang si bapa lakukan di Marawi, oleh itu mereka tidak beritahu polis mengenai perkembangan itu.

“Kami percaya bapanya menyelinap masuk ke Sabah, saya fikir tahun lepas, tetapi sempat melepaskan diri semasa kami cuba menangkapnya.

“Kami percaya dia pulang untuk melawat ahli keluarga. Sekiranya laporan mengenai remaja bertempur di Marawi itu terbukti betul, mungkin dia kembali ke Sabah untuk mengambil anak itu.”

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan ahli keluarga dan pastikan mereka tidak menjadi radikal serta melaporkan kepada polis sebarang perkembangan dalam kes yang sedang disiasat.”

FMT mendapat tahu mengenai remaja itu daripada seorang bekas tebusan, yang diculik kumpulan militan pro-IS apabila pertempuran tercetus pada Mei.

“Saya nampak remaja itu dengan bapanya,” kata bekas tebusan itu.

“Saya tidak pasti usia remaja itu, mungkin sekitar 13 tahun. Tubuhnya kecil tapi sudah angkat senjata. Dia terlibat dalam pertempuran melawan tentera.

“Saya pernah bermain dengan remaja itu dan dia dan bapanya selalu bersama dan pihak berkuasa di sini mengesahkan remaja itu anak kepada militan Malaysia itu.”

Percakapan antara bekas tebusan itu dengan remaja itu dan bapanya berlaku sebelum beliau diselamatkan pihak berkuasa pada September.

Tentera dilaporkan menerima tembakan senjata api daripada wanita dan kanak-kanak, dipercayai ahli keluarga militan tempatan.

Namun ini kali pertama media melaporkan tentang ahli keluarga seorang militan warga asing di Marawi.

Remaja itu juga mungkin individu bawah umur warga Malaysia pertama yang dilaporkan bertempur bersama militan di luar negara.

Dipercayai masih ada 3 orang rakyat Malaysia berkubu di Marawi selepas pengganas Malaysia paling dikehendaki, Mahmud Ahmad, dilaporkan terbunuh minggu ini.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan kematian Mahmud, namun Fuzi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa Filipina.

Pada 17 Oktober lepas, Duterte mengumumkan pihak berkuasa berjaya membebaskan bandar itu daripada unsur pengganas ketika operasi masih berjalan untuk menangkap saki baki militan.

Pengumuman itu menyusuli kematian emir IS di Asia Tenggara, Isnilon Hapilon, dan pengasas bersama kumpulan militan Maute, Omar Maute, pada tengah malam hari yang sama.

Kumpulan Abu Sayyaf dan Maute dilaporkan bertanggungjawab ke atas meletusnya pertempuran berpanjangan di bandar itu.

Lebih 1,000 orang, kebanyakannya militan, dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara militan dan pihak berkuasa.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments