Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

BN Pulau Pinang kemuka usul henti projek lereng bukit

 | October 22, 2017

Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid berkata, BN telah menghantar usul ke Dewan Undangan Negeri berkaitan perkara terbabit pada minggu lalu.

Jahara-Hamid

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menghentikan semua projek pembangunan di lereng bukit bagi memastikan kejadian tanah runtuh di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah semalam, tidak berulang.

Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid berkata, BN telah menghantar usul ke Dewan Undangan Negeri berkaitan perkara terbabit pada minggu lalu.

Menurut Jahara, isu pembangunan tidak terkawal di kawasan lereng bukit sudah lama dibangkitkan pelbagai pihak namun tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri hidup dalam sindrom penafian dan pekak terhadap masalah rakyat,” kata beliau dipetik Utusan Online.

Jahara berkata, beliau berharap usul berkenaan akan diterima malah wakil rakyat DAP dan PKR juga perlu menyokong kerana merupakan isu rakyat.

Dalam pada itu, gabungan pertubuhan masyarakat Penang Forum yang dipetik Bernama berkata, kemungkinan berlaku insiden tidak diingini di tapak kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah telah dikemukakan sebanyak 2 kali kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

Wakil mereka, Dr Lim Mah Hui berkata, kali pertama perkara itu dibangkitkan oleh Penang Hill Watch (PHW) ialah pada Januari dan kali ke-2 pada Mei, memohon agar projek tersebut dihentikan kerana khuatir boleh berlaku runtuhan tanah.

“Gambar-gambar kawasan pembinaan dan pemotongan bukit di tapak ini dikemukakan kepada kerajaan negeri yang menjawab ‘kerja-kerja tanah di situ sedang dipantau’.

“Laporan kali ke-2 kami kemukakan berserta hasil siasatan susulan dan kali ini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri,” katanya.

Kedua-dua laporan tersebut dikemukakan kepada Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow.

Penang Forum memulakan PHW, 1 inisiatif komuniti untuk menyalurkan maklumat mengenai pemotongan bukit yang diperoleh daripada masyarakat kepada kerajaan negeri.

Dalam kejadian 8.57 pagi semalam, 7 pekerja binaan terbunuh manakala 4 lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek perumahan mampu milik 50 tingkat.

Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan dan polis percaya mangsa tertimbus sehingga sedalam 10 meter.

Mah Hui berkata 2 tahun lepas, Penang Forum menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP itu menyemak semula serta menghentikan projek pembangunan di lereng bukit namun tidak dipedulikan.

“Natijahnya yang begitu memeritkan dapat dilihat hari ini dengan kemungkinan 11 nyawa terkorban dalam runtuhan tanah di projek lereng bukit di Tanjung Bungah,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments