Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Tanah runtuh: Jumlah sebenar mangsa tertimbus 11 orang

 | October 22, 2017

Tiga lagi pekerja binaan yang sebelum ini termasuk dalam senarai 14 mangsa itu sebenarnya terselamat dan hanya mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

6-body-1

GEORGE TOWN: Jumlah sebenar mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini adalah 11 orang, bukan 14 seperti yang dilaporkan semalam, kata Penolong Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ervin Galen Teruki.

Beliau berkata 3 lagi pekerja binaan yang sebelum ini termasuk dalam senarai 14 mangsa itu sebenarnya terselamat dan hanya mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Setakat ini 7 mayat ditemui di dalam timbusan tanah itu dan operasi mengesan 4 lagi mangsa masih diteruskan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Enam daripada mayat yang ditemui telah dapat dikeluarkan dan dihantar ke HPP, dikenali sebagai Hussin dan Yunus (Bangladesh); Hosrin dan Erwin (Indonesia); serta Elyas dan Yusof (Myanmar) manakala usaha mengeluarkan 1 lagi mayat yang ditemui pada 9.56 pagi tadi sedang dilakukan.

“Proses mengeluarkan mayat mengalami kesukaran ekoran mayat ke-7 ini tertimbus agak dalam, kawasan tanah basah dan berhampiran besi-besi cerucuk yang membahayakan operasi mengeluarkan mayat,” katanya.

Sehubungan itu katanya proses mengeluarkan mayat tersebut terpaksa dilakukan secara manual.

Kejadian tanah runtuh itu dilapor berlaku pada 8.57 pagi semalam ketika sekumpulan pekerja binaan sedang menjalankan kerja di bahagian bawah tanah bangunan yang sedang dibina itu.

Pasukan mencari dan menyelamat melibatkan 130 orang terdiri daripada polis, pasukan bomba dan penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Putrajaya, Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia: HPP; Majlis Bandaraya Pulau Pinang; dan Rela dengan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ervin Galen berkata pergerakan tanah yang dikesan masih berlaku di kawasan cerun itu menyukarkan sedikit pihak bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Dianggarkan 1,000 tan tanah perlu dikeluarkan dari kawasan runtuhan dan setakat ini pasukan mencari dan menyelamat telah menggali sedalam lebih 20 kaki, katanya.

“Pihak pemaju telah menambah sebuah jentolak bersama beberapa buah lori bagi memudahkan urusan mengeluarkan tanah di kawasan runtuhan itu,” katanya.

Pasukan SMART dari Putrajaya turut menggunakan peralatan memotong, alat pengesan yang mengunakan imej 2D (2 dimensi) untuk mengimbas objek di bawah runtuhan.

Beliau berharap operasi mengesan mangsa dapat diselesaikan hari ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments