Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Putus hubungan dengan Myanmar tak selesai isu Rohingya’

 | October 23, 2017

Timbalan menteri luar berkata, tanpa hubungan diplomatik, bantuan kemanusiaan daripada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sukar digerakkan ke lokasi terjejas.

DEWAN RAKYAT

rizal-marican-myanmarKUALA LUMPUR: Kekejaman dan penindasan ke atas etnik Rohingya tidak akan berakhir walaupun Malaysia mengambil pendirian memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, tanpa hubungan diplomatik, bantuan kemanusiaan daripada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sukar digerakkan ke lokasi terjejas.

“Kerajaan pada umumnya tidak akan terburu-buru mengambil keputusan, umumnya kita buat kajian. Kalau kita ambil tindakan bersifat unilateral, kadang-kadang ia tak beri kita kesan yang positif. Kita nak pastikan dalam keadaan apapun, kita masih ada ruang untuk terus membantu.

“Hakikatnya, kalau kita memutuskan hubungan diplomatik, bererti ia akan sama sekali sempitkan ruang dan keupayaan kita menghantar bantuan kepada mereka yang ditindas di wilayah Rakhine secara langsung mahupun tidak langsung.

“Kalau kita tiada hubungan diplomatik, tentu sekali NGO seperti Mapim (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), Mercy Malaysia juga tak mungkin dibenarkan memasuki kawasan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ingin tahu tindakan kerajaan berhubung penindasan tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di Rakhine.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan misi ke-3 “Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan untuk Rohingya” yang membawa muatan 56.6 tan makanan dan bekalan keperluan kepada pelarian Rohingya yang sedang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Muatan itu termasuk biskut, pad sanitari, sabun, tuala, berus gigi, lampin pakai buang, selimut dan beberapa barang keperluan lain.

Reezal yang juga ahli Parlimen Kepala Batas berkata, Malaysia akan terus membangkitkan isu kemanusiaan itu di persada antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mendapatkan sokongan kuasa besar yang mempunyai pengaruh, di samping menyalurkan bantuan kepada pelarian secara berperingkat.

“Kerajaan faham sentimen rakyat negara ini yang marah dengan kekejaman tersebut.

“Malaysia akan terus bangkitkan isu Rohingya di peringkat antarabangsa bagi memberi penekanan berterusan kepada kerajaan Myanmar,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments