Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ramai beralih ke hospital kerajaan kerana GST, kos sara hidup

 | October 23, 2017

Persatuan Perubatan Malaysia berkata kenaikan jumlah pesakit sehingga 30% dan potongan belanjawan kementerian menyebabkan kekurangan bekalan ubat.

naidu

PETALING JAYA: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup menyaksikan lebih ramai mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan klinik kesihatan daripada hospiital swasta.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ravindran Naidu berkata keadaan ekonomi yang perlahan sejak 2 tahun kebelakangan ini dan GST mendorong ramai pesakit untuk beralih daripada penjagaan kesihatan swasta kepada kerajaan.

“Kementerian (kesihatan) juga ada menyebut tentang ini, sambil menyediakan data yang menunjukkan peningkatan 30% dalam jumlah rakyat yang mengunjungi hospital kerajaan,” katanya kepada FMT.

Dr Ravindran berkata, peningkatan jumlah pesakit di hospital kerajaan dan ditambah pula dengan pengurangan peruntukan bajet untuk Kementerian Kesihatan menyebablan berlakunya kekurangan bekalan ubat.

“Jika jumlah pesakit meningkat 30%, bekalan ubatan juga patut ditingkatkan kepada 30%. Bagaimanapun, akibat potongan bajet, hospital terpaksa lebih berhati-hati mengagihkan ubat.

“Hospital bukannya tiada ubat, tetapi mereka hanya lebih berhati-hati dan bermunasabah dalam mengagihkannya,” katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meningkatkan belanjawan untuk rawatan kesihatan dan memansuhkan GST untuk rawatan kesihatan.

“Kerajaan patut berpegang pada pendirian awal mereka untuk tidak mengenakan GST untuk rawatan kesihatan. Ini akan menjadikan rakyat lebih mampu mendapatkan rawatan kesihatan.”

Kos ubatan mahal

Penganalisis ekonomi Tan Sri Ramon Ravaratnam berkata sekarang ini waktu yang sukar bagi kakitangan kerajaan, pesara dan rakyat yang perlukan rawatan kesihatan.

“Rakyat sedang menderita akibat kekurangan ubat dan kos rawatan yang tinggi kerana hospital berdepan kekurangan bekalan. Malahan, kain pembalut pun perlu dibeli pesakit,” katanya kepada FMT.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan itu mempersoal jika aliran tunai kerajaan terlalu teruk sehinggakan memberi kesan kepada rawatan kesihatan.

“Adakah kerajaan kekurangan dana? Tidak bolehkah kerajaan menyesuaikan keutamaan belanjawan? Adakah Bajet 2018 akan menyelesaikan hal ini dan membetulkan masalah parah ini yang memberi kesan kepada ramai kakitangan kerajaan berpendapatan rendah dan rakyat yang miskin?

“Apakah yang Cuepacs lakukan atas perkara ini? Jangan lupa yang kakitangan kerajaan sudah berkorban untuk negara dan mereka pastinya memerlukan lebih penjagaan dan belas kasihan pada usia senja.

“Jangan lupa, mereka adalah pengundi. Jadilah lebih prihatin untuk berjuta kakitangan kerajaan, pesara dan orang awam yang hanya mampu ke hospital kerajaan,” gesa Ramon kepada kerajaan.

FMT juga bercakap dengan seorang doktor yang tidak mahu dinamakan. Beliau bersetuju terdapat kekurangan bekalan ubat, bekalan perubatan dan belanjawan untuk ujian makmal di hospital dan klinik kerajaan.

“Sememangnya terdapat kekurangan ubatan di negara ini kerana belanjawan dikurangkan.

“Belanjawan untuk 2016 kurang daripada 2015 dan belanjawan untuk 2017 kurang daripada 2016. Ini disahkan dalam mesyuarat daerah dan negeri. Kami diberi taklimat tentang belanjawan yang dikurangkan,” kata doktor kerajaan itu kepada FMT.

Doktor yang bekerja di sebuah klinik kerajaan di sebuah daerah di Negeri Sembilan itu berkata sesetengah ujian dan kajian dibatalkan akibat kekurangan bekalan.

“Contohnya, kita tidak dapat mengawasi kawalan diabetes seorang pesakit kerana reagen (bahan uji) HBA1C sudah habis. Jadi kita tidak pasti jika kawalan dalam tempoh 3 bulan itu baik atau tidak.

“Bahan uji berbeza habis dengan tidak tentu dan kita perlu tunggu pembiayaan tambahan, yang mungkin ada berbulan selepas itu.”

Seorang penasihat projek kesihatan, 29, dari Lembah Klang berkata satu kekurangan ketara adalah kelengkapan kesihatan.

“Kebanyakan hospital tidak mampu membeli kelengkapan kesihatan akibat kekurangan belanjawan jadi mereka terpaksa berkongsi mesin dengan hospital lain. Saya dapati mereka kekurangan mesin tekanan darah tidak invasif (NIBP) dan mesin diatermi,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments