Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

2 tertuduh Jong Nam letih, keliling klia2 naik kerusi roda

 | October 24, 2017

Peguam menganggarkan baju kalis peluru yang dipakai 2 tertuduh ketika melawat klia2 hari ini seberat 1kg.

Hisham Teh Pok Teik (dari kiri), Naran Singh dan Gooi Soon Seng bercakap kepada wartawan selepas 2 anak guam mereka dibawa ke lokasi pembunuhan Kim Jong Nam.

Hisham Teh Pok Teik (dari kiri), Naran Singh dan Gooi Soon Seng bercakap kepada wartawan selepas 2 anak guam mereka dibawa ke lokasi pembunuhan Kim Jong Nam.

SEPANG: Dua wanita asing yang didakwa membunuh Kim Jong Nam mengadu keletihan selepas berjalan hampir 3 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada hari ke-9 perbicaraan kes berprofil tinggi itu.

Warga Indonesia, Siti Aisyah dan seorang lagi tertuduh dari Vietnam, Doan Thi Huong dibawa mengelilingi beberapa lokasi di klia2 dengan menaiki kerusi roda.

“Mereka dipakaikan baju kalis peluru yang agak berat dan terpaksa berjalan hampir 3 jam. Mereka keletihan. Jadi, kami minta anak guam kami menggunakan kerusi roda,” kata peguam, Gooi Soon Seng yang mewakili Aisyah.

Hisham Teh Pok Teik yang mewakili Doan pula menganggarkan baju kalis peluru yang dipakai kedua-dua tertuduh itu seberat 1kg.

Gooi berkata, lawatan itu bertujuan memberi gambaran lebih jelas kepada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin mengenai tempat kejadian seperti ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, laluan pertama digunakan Doan, diikuti laluan yang dipercayai digunakan Aisyah dan diakhiri laluan diambil Jong Nam.

“Kami melihat laluan digunakan tertuduh Aisyah dan mangsa. Iaitu, sebaik sahaja berada di kiosk ‘self check-in’ dan 10 lagi lokasi dikesan dalam rakaman CCTV.

“Begitu juga laluan digunakan Doan dari awal hingga ke tempat menunggu teksi. Kami juga pergi ke 2 tandas berbeza di aras 2,” katanya.

Lawatan tapak hari ini turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin serta peguam tertuduh, Datuk Naran Singh dan Samir Bashir.

Difahamkan, 200 anggota polis pelbagai unit, termasuk Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Bahagian Siasatan Jenayah (CID) ditugaskan mengawasi keadaan di klia2.

Gooi berkata, antara beberapa isu yang akan dibangkitkannya dalam sesi pemeriksaan balas bermula esok ialah rakaman CCTV tidak jelas.

“Daripada CCTV, kami hanya melihat tertuduh (Aisyah) melalui kawasan tandas, tetapi tidak ada rakaman menunjukkan tertuduh masuk ke dalam tandas,” katanya.

Perbicaraan kes pembunuhan Jong Nam akan bersambung esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan memanggil semula saksi ke-9, pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Aisyah dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Jong Nam diserang sebelum menaiki pesawat ke Macau pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kematiannya mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menafikan tuduhan pembabitan rejim Pyongyang.

Tertuduh dalam kes bunuh Jong Nam dibawa lawat tandas, klinik klia2


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments