Peguam negara masih tunggu Raja Petra mohon maaf

Peguam negara masih tunggu Raja Petra mohon maaf

Apandi Ali berkata beliau akan terus menyaman penulis blog itu sekiranya tiada permohonan maaf.

apandi-ali
KUALA LUMPUR:
Peguan Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali masih menunggu permohonan maaf daripada penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin berhubung artikel yang mengandungi dakwaan rasuah terhadapnya.

Apandi berkata beliau akan terus menyaman penulis itu sekiranya tiada permohonan maaf.

“Saya pasti akan menyaman dia kalau tiada permohonan maaf.

“Sanggup dia cemar nama baik saya. Saya kenal dia pun tidak. Ini melibatkan reputasi saya,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Ditanya sama ada beliau memberikan tempoh masa kepada Raja Petra, beliau berkata: “Saya sudah hantar pesanan dan isyarat bahawa beliau perlu memohon maaf. Saya akan berikan masa tetapi tidak terlalu lama.”

Beliau berkata walaupun fitnah itu ditujukan terhadap peguam negara, beliau akan menyaman Raja Petra atas kapasiti peribadi.

“Tidak kisah sama ada saya saman dia di sana atau di sini,” tambahnya, merujuk kepada Raja Petra, yang dikatakan menetap di United Kingdom.

Pada 25 Oktober lepas, Apandi mengesahkan kepada NST Online bahawa laporan polis dibuat di Kuantan dan Putrajaya pada Ahad.

Apandi berkata kesalahan itu bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana fitnah. Polis berkata selain Seksyen 499, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Raja Petra mendakwa Apandi menuntut RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan Cina, yang dikatakan “rakan perniagaan” Sultan Johor, untuk kes yang dimenanginya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.