Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

China beri jaminan redakan ketegangan Laut China Selatan

 | November 14, 2017

China memberi jaminan kebebasan pelayaran, penerbangan dan tidak akan menggunakan kuasa ketenteraan di kawasan itu.

najib-razak-laut-china-selatanMANILA: China memberikan respons positif bagi meredakan ketegangan di Laut China Selatan, termasuk memberi jaminan kebebasan pelayaran serta penerbangan di kawasan itu yang menjadi rebutan beberapa negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang pada Sidang Kemuncak Asean-China semalam menyatakan lautan itu akan menjadi “tonggak keamanan dan kestabilan” serta memberi jaminan tidak akan menggunakan kuasa ketenteraan.

“Yang penting sekali isu Laut China Selatan, China lebih positif. Dia tidak mahu kawasan itu jadi kawasan ketegangan. Komited mereka tidak berubah untuk memastikan keamanan,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia selepas menghadiri 9 mesyuarat Asean bersama rakan dialognya semalam.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Najib berkata Li Keqiang pada sidang itu juga menyatakan kesediaan China memulakan semula rundingan bagi memuktamadkan kerangka bagi Kod Tatalaku (CoC) mengenai Laut China Selatan.

“Sebarang perbezaan pendapat perlu diuruskan secara positif dan konstruktif, berdasarkan kedaulatan undang-undang, pengekalan diri yang maksimum dan tidak menggunakan kekerasan atau ugutan,” katanya.

Menurut beliau, apa yang penting ialah semua tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu diselesaikan berdasarkan rundingan dan penyelesaian secara keamanan.

Idea mengenai CoC tercetus berikutan pertindihan tuntutan ke atas kawasan tertentu di Laut China Selatan.

Najib juga berkata Malaysia dan Asean perlu mengambil peluang pertumbuhan ekonomi yang tinggi di China dengan meningkatkan eksport ke negara itu, serta menarik sebahagian besar daripada kira-kira 150 juta penduduknya yang dijangka melancong ke luar negara tahun ini.

Mengenai Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat (AS) yang dihadiri Presiden Donald Trump, Najib berkata kehadiran Trump menunjukkan komited negara itu terhadap Asean tidak berubah walaupun berlaku perubahan dari segi pentadbiran.

Perdana Menteri berkata beliau memberitahu Trump dan pemimpin Asean lain, walaupun presiden berubah, Asean tetap jadi kawasan keutamaan negara itu.

AS merupakan pelaburan langsung asing (FDI) ke-3 terbesar bagi Asean iaitu AS$11.7 bilion pada 2016 manakala perdagangan 2 hala pula mencecah AS$211.8 bilion.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments