Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Mujahid: Itu fitnah, saya tak sokong liberalisme, LGBT

 | November 14, 2017

Naib presiden Amanah itu berkata, program Transformasi Pemikiran Islam anjuran Institut Kajian Strategi Islam Malaysia lebih memfokuskan 'pembunuhan watak' sesetengah individu berbanding menangani isu yang timbul.

DEWAN RAKYAT

mujahid-iksim-3

KUALA LUMPUR: Naib presiden Amanah hari ini menyelar tindakan sebuah institut pemikir kerajaan mencemarkan nama baik beberapa pemimpin dengan melabelkan mereka penyokong fahaman liberalisme, pluralisme serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam sebuah programnya.

Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, program yang dikenali sebagai Transformasi Pemikiran Islam (Trapi) itu dianjurkan Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), sebuah institut yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ahli Parlimen Parit Buntar itu bimbang program itu lebih memfokuskan “pembunuhan watak” sesetengah individu berbanding menangani isu yang timbul.

“Dalam beberapa program itu, salah satu sekularisme, liberalisme dan pluralisme menonjolkan nama-nama tokoh politik tertentu sebagai liberal dan memperjuangkan pluralisme, sedangkan tokoh ini dihormati masyarakat dan mempunyai nama baik dalam ilmu Islam.

“Saya sedih. Daripada maklumat yang diterima, dipaparkan gambar saya, gambar-gambar pemimpin lain sebagai tokoh pluralisme dan liberalisme.

“Fitnah apa yang nak dibawakan mereka? Seluruh Malaysia akan dengar, sedangkan kita tak pernah pun bawa fahaman tersebut. Ini bahaya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Mujahid berkata, jika perlu, beliau akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkaitan.

“Jika ini berlaku di bawah Jakim, saya anggap Jakim bertanggungjawab atas fitnah besar.

“Kalau nak jaga Islam, jaga betul-betul. Jangan guna kaedah untuk mencemarkan nama baik ahli politik yang tidak ada kena-mengena dengan fahaman ini.”

Program itu dianjurkan Iksim yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menyatakan sekularisme, liberalisme dan kepelbagaian budaya sebagai elemen yang akan menghakis agenda Islam serta memusnahkan kedaulatan negara.

Penubuhan Iksim diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jakim, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri.

Iksim diperbadankan pada 9 Disember 2014 dengan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu untuk menegakkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Dalam pada itu, Mujahid turut mempersoalkan jika Iksim mendapat dana daripada peruntukan Jakim yang semakin meningkat daripada RM744 tahun ini kepada RM810 juta dalam Bajet 2018.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments