Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kontrak MRT Laluan 3 untuk syarikat China?

 | November 15, 2017

Penganalisis berkata syarat pembinaan projek MRT Laluan 3 menyukarkan penyertaan pemain tempatan dan mungkin menyaksikan pembida asing menjadi kontraktor utama.

mrt-chinaKUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat Malaysia mungkin tidak dapat menjadi kontraktor utama MRT Laluan 3 bernilai RM30 bilion kerana syarat pembiayaan yang besar, lapor The Straits Times (ST).

Laporan itu berkata tender untuk fasa ketiga sistem Transit Aliran Massa (MRT) mengejutkan penganalisis industri apabila kerajaan meminta pembina menyediakan biaya pendahuluan 90% untuk projek itu.

Syarat lain termasuk pembida pernah mengendalikan projek dalam bandar bernilai RM10 bilion dalam sedekad lalu. Pembida yang berjaya juga hanya akan menerima pembayaran 8 tahun kemudian, dan pembayaran itu dibuat sepanjang tempoh 30 tahun.

Menurut laporan itu, pengkritik melihat syarat-syarat itu direka untuk membolehkan kontraktor China dengan kaitan kerajaan mereka untuk memenangi kontrak itu.

Penganalisis industri dalam nota penyelidikan mereka ragu-ragu cadangan kewangan itu akan menarik minat pembida tempatan.

Nomura misalnya berkata “komitmen pembiayaan yang besar kemungkinan akan menyebabkan kontraktor Malaysia tidak dapat menjadi kontraktor utama kerana risiko pada kunci kira-kira”.

MRT Corp akui kepada ST yang mereka sangat berminat menarik pembida luar negara.

“Struktur projek yang dicadangkan bagi MRT Laluan 3 yang melibatkan kontraktor turnkey yang juga bertanggungjawab mendapatkan pembiayaan bagi projek itu bertujuan menarik syarikat asing yang boleh memberikan pembiayaan yang lebih baik untuk Laluan Lingkaran,” kata MRT Corp kepada ST.

MRT Laluan 3 dikenali sebagai Laluan Lingkaran kerana ia akan melingkari Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Shahril Mokhtar bagaimanapun berkata tender itu tidak akan mengetepikan syarikat Malaysia, kerana mereka boleh menubuhkan konsortium dengan rakan tempatan atau asing.

Ahli politik pembangkang menimbulkan persoalan mengenai bagaimana tender itu dilakukan. Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming hari ini menyeru dokumen tender untuk projek MRT Laluan 3 dibuka kepada orang awam.

Laporan ST itu mengambil maklum projek MRT fasa 1 dan 2 dianugerahkan sebagai tender biasa, di mana syarikat usaha sama MMC Corp dan Gamuda menguruskan pembinaan dan pemberian kontrak.

Projek MRT Laluan 1, bernilai RM21 bilion, sudah mula beroperasi manakala MRT Laluan 2, dianggarkan bernilai RM40 bilion, sedang dibina.

Projek MRT Laluan 3 sebaliknya akan diberi sebagai kontrak turnkey di mana pembida yang menang sediakan pembiayaan, dan diberi pilihan untuk memberikan subkontrak.

Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) berkata mereka mengubah model projek itu untuk MRT Laluan 3 bagi menjimatkan berbilion ringgit dari segi faedah dan kos projek.

MRT Laluan 1 dan 2 dibiayai DanaInfra Nasional, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

DanaInfra mempunyai RM20.7 bilion hutang yang dijamin kerajaan pada 2015, sebahagian besar untuk membiayai projek rel itu. Jumlah itu meningkat hampir RM9 bilion, atau 43.4% tahun lalu, menurut laporan itu.

Laporan ST meramalkan MRT Corp mungkin akan meminta pembiayaan daripada DanaInfra sekiranya tiada pembida berjaya untuk MRT Laluan 3.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments