Hampir seminggu, JPPM belum terima laporan CEC DAP
JPPM juga masih belum ada sebarang perkembangan terkini mengenai status pendaftaran Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim berkata, sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada parti itu walaupun hampir seminggu berlalu.
“Saya belum terima apa-apa laporan dari DAP,” kata Surayati pada sidang media di ibu pejabat JPPM hari ini.
Beliau ditanya sama ada JPPM akan mengiktiraf barisan kepimpinan baharu yang terpilih dalam pemilihan semula itu.
Barisan itu menyaksikan 90% kepimpinan terdahulu kekal dalam jawatankuasa itu. Pemilihan semula itu juga menyaksikan tokoh DAP Lim Kit Siang meraih undi terbanyak.
Kit Siang meraih 1,199 undi daripada 1,346 undi, diikuti Gobind Singh Deo (1,198 undi) dan Lim Guan Eng (1,180 undi).
Kongres khas itu diadakan berikutan arahan daripada JPPM.
Pertikaian antara DAP dan JPPM mengenai pemilihan parti 2012 timbul pada Julai, 3 tahun selepas perkara itu disangka selesai.
Pada 7 Julai lepas, JPPM mengeluarkan kenyataan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC baharu, selepas memutuskan pemilihan semula sebelum ini, yang diadakan pada 29 September 2013, tidak mengikut undang-undang.
Status PH belum ada perkembangan
Pada masa sama, Surayati turut memberitahu sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan terkini mengenai status pendaftaran Pakatan Harapan (PH).
Bahkan, enggan mengulas lanjut mengenai mengapakah kelewatan itu berlaku sejak permohonan dibuat pada 24 Julai lalu.
“PH belum ada apa-apa lagi,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PH bercadang bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendaftaran gabungan mereka tetapi gagal.
PH tertanya-tanya mengenai status pendaftaran mereka kerana tiada berita daripada JPPM sama ada permohonan itu diterima atau ditolak.
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata gabungan itu akan membawa JPPM ke mahkamah jika mereka gagal respon kepada permohonan itu.
Gobind berkata parti komponen PH membuat permohonan itu pada 28 Julai dan belum ada berita daripada JPPM. Mereka menulis sekali lagi pada 21 Ogos minta satu mesyuarat diadakan untuk membincangkan permohonan itu.
Beliau menambah mereka sekali lagi menghantar notis kepada JPPM pada 25 Oktober, meminta jabatan itu respon kepada permohonan mereka dalam masa 14 hari selepas menerima surat itu.
PH mengemukakan draf perlembagaan pada 24 Julai dan logo pada 28 Julai. JPPM bagaimanapun mengarahkan PH menggunakan nama “Pakatan Harapan” menggantikan “Harapan” pada logo mereka.
Gabungan itu, terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan PPBM, meminda logo dan menyerahkan versi baharu untuk melengkapkan permohonan mereka.
Umno juga diharamkan
Pada sidang media itu, Surayati mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat tuduhan tidak berasas terhadap JPPM.
Beliau berkata Umno, yang menerajui gabungan Barisan Nasional, juga diharamkan pada 1988 kerana tidak mengikut peraturan parti.
Surayati dalam kenyataannya berkata kepimpinan PPBM harus tahu peraturan parti sendiri.
“Ini perkara serius. Ia pernah berlaku pada 1988 apabila Umno diharamkan,” katanya.
Beliau mengulangi amaran pendaftaran PPBM boleh dibatalkan jika tidak menyelesaikan beberapa masalah berkaitan nama sayap Pemuda dan Wanita parti dalam perlembagaan mereka.
Beliau berkata kegagalan parti untuk menjalankan mesyuarat agung tahunan di peringkat bahagian dan pusat dengan bilangan kehadiran yang mencukupi juga boleh menyebabkan pendaftaran dibatalkan.
Pemuda PPBM diberi nama “Armada” manakala Wanita PPBM diberi nama “Srikandi” walaupun tidak dinyatakan dalam perlembagaan.
Surayati berkata PPBM hanya mengadakan mesyuarat jawatankuasa khas yang hanya melibatkan ahli majlis pimpinan tertinggi dan bukannya ahli akar umbi.
Ketua pengarah baharu itu turut mengingatkan orang ramai untuk tidak memanipulasikan isu pendaftaran PPBM.
“Jika tuduhan masih berterusan, saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
“Sebarang perkembangan mengenai siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya, merujuk kepada PPBM yang ingin tahu nasib mereka menuju pilihan raya umum ke-14 nanti.
Beliau berkata JPPM ada menerima aduan daripada bekas ahli PPBM yang dipecat.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata PPBM mempunyai bilangan ahli mencukupi tetapi mengatur ahli ke dalam bahagian dan cawangan belum selesai.