Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dr M gesa Saudi, negara Teluk henti sekatan ke atas Yaman

 | November 18, 2017

Bekas perdana menteri itu berkata, umat Islam malu dan beliau menggesa bantuan makanan serta perubatan dibenarkan dihantar kepada rakyat Yaman yang sakit dan kebuluran.

mahathir-mohamad-perang-yamanPETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa umat Islam di Arab Saudi dan negara Teluk menghentikan sekatan ke atas Yaman yang menyaksikan ribuan kematian dan kanak-kanak kebuluran.

Bekas perdana menteri membuat rayuan itu menerusi sepucuk surat rasmi yang dimuat naik ke Twitter dan Facebooknya semalam.

“Sebagai seorang umat Islam, saya dan rakyat Malaysia beragama Islam serta bukan Islam ingin merayu kepada saudara kita untuk menghentikan peperangan dahsyat ini.

“Dengan kematian dan kemusnahan itu, tiada pihak yang merupakan pemenang. Hanya ada pihak yang kalah. Kasihani mereka yang tidak bersalah yang menjadi mangsa peperangan ini.”

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Yaman sebagai krisis kemanusiaan nombor satu dunia dengan 17 juta rakyatnya memerlukan makanan, termasuk 7 juta lagi yang berdepan risiko kebuluran.

Yaman turut bergelut dengan penularan wabak taun yang menyebabkan hampir 1 juta orang sakit dan mengorbankan 2,200 orang.

Dr Mahathir yang juga presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana Malaysia berkata, dunia terkejut dan gerun dengan tragedi buatan manusia itu.

“Umat Islam rasa malu. Tolong hentikan pembunuhan sia-sia ini. Sekurang-kurangnya tolong benarkan makanan dan perubatan dihantar kepada rakyat Yaman yang sakit dan kebulur,” kata pengerusi Pakatan Harapan merangkap pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana itu.

AFP memetik Stephane Dujarric, jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres yang “amat kecewa” dengan pakatan diketuai Arab Saudi yang enggan menarik balik sekatan ke atas Yaman.

Selepas rayuan berulang kali pegawai PBB diabaikan, Guterres menulis surat kepada Duta Arab Saudi, Abdallah al-Mouallimi Khamis lalu meminta sekatan itu ditamatkan kerana “ia menterbalikkan impak ke atas usaha kemanusiaan”.

Beliau juga menggesa pakatan itu membenarkan penerbangan PBB ke Sanaa dan Aden serta membuka semula pelabuhan utama di Hodeida dan Saleef yang terletak dalam kawasan dikuasai pemberontak.

Pakatan itu menutup pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan di Yaman sejak 6 November lalu sebagai tindak balas terhadap serangan misil pemberontak Huthi disokong Iran berhampiran Riyadh.

“Ini krisis buatan manusia,” kata jurucakap PBB itu sambil menambah Guterres menyifatkannya “perang bodoh.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments