Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Jangan iktiraf UEC, gesa Pemuda Perkasa

 | November 18, 2017

Burhanuddin Ruslan berkata, silibus pembelajaran di sekolah menengah persendirian tidak memenuhi aspirasi kebangsaan.

perkasa_sekolah_cina_600

KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menggesa kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)

Ketuanya, Burhanuddin Ruslan berkata, silibus pembelajaran di sekolah menengah persendirian tidak memenuhi aspirasi kebangsaan.

“Mereka berdegil dan keras kepala tidak mahu berada dalam sistem pendidikan negara. Jadi, adakah layak untuk kita memberi pengiktirafan kepada golongan yang degil dan keras kepala ini.

“Keduanya, silibus pembelajaran mereka tidak mencerminkan nasionalisme, tetapi lebih berkiblatkan negara Taiwan dan China, di mana silibus mata pelajaran Sejarah hanya menyentuh sedikit sahaja sejarah Malaysia, tetapi lebih menumpukan sejarah China,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini.

Burhanuddin berkata, pengiktirafan UEC bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan kerana meminggirkan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan wajib.

“Keempat, jika pengiktirafan diberi, pasti ia menggagalkan usaha kerajaan membina negara bangsa dan perpaduan serta mengorbankan dasar kita yang berpaksikan pada Penyata Razak 1956.

“Kelima, keseluruhan matlamat, sistem, kualiti penilaian, buku teks dan isi pendidikan tidak diiktiraf, disediakan pihaknya sendiri yang tidak mengikut falsafah pendidikan negara,” katanya.

Pada 8 Februari lalu, Pengerusi Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), Datuk Vincent Lau Lee Ming menafikan silibus subjek Sejarah diambil dari China dan Taiwan.

Beliau berkata, pihaknya bersedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai keputusan mewajibkan pelajar lulus subjek Sejarah bagi UEC.

Ia selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam berhubung pengiktirafan UEC, pada 4 Februari lalu.

Borneo Post Online memetik timbalan perdana menteri sebagai berkata, hasil kajian itu akan diserahkan kepada perdana menteri.

Pada 1 April lalu, Perkasa mengancam mahu menyaman kerajaan jika mengiktiraf UEC.

Menerusi resolusi sidang meja bulatnya, Perkasa digesa membawa isu UEC ke mahkamah untuk memohon pembatalan sekiranya kerajaan mengiktirafnya atas apa alasan sekalipun, termasuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, dan dikendalikan sejak 1975 oleh Dong Zong.

Sijil itu diiktiraf pelbagai universiti terkemuka di seluruh dunia, termasuk Universiti Harvard, Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Toronto dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tetapi di Malaysia, UEC tidak diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi untuk kemasukan ke universiti awam.

Di bawah pentadbiran bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, negeri itu mengiktiraf UEC yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Kerajaan akan kaji pengiktirafan UEC, kata Zahid

Dong Zong nafi silibus subjek Sejarah diambil dari China, Taiwan


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments