Para menteri puji belanjawan Sabah ‘holistik’
Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun berkata tambahan RM12 juta untuk membangunkan pelancongan desa sangat dinanti-nantikan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Prasarana Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata belanjawan yang dibentangkan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mencapai keseimbangan antara pembangunan prasarana dan sumber manusia.
“Sudah tentu, kita sentiasa mahukan pembangunan prasarana. RM1.336 bilion yang diperuntukkan untuk kementerian saya bukan sahaja akan menyediakan pembangunan prasarana untuk tahun depan tetapi juga untuk 5 malah 10 tahun akan datang.”
Bagaimanapun, Pairin lebih kagum Musa, yang juga menteri kewangan, mengambil kira kebajikan rakyat di samping menyediakan prasarana yang sangat diperlukan.
Beliau berkata ini membuktikan Musa memikirkan keperluan rakyat secara mendalam dengan tujuan memastikan semua orang dapat merasai kemakmuran ekonomi negeri.
“Saya gembira kewangan Sabah sudah diaudit dan dibuktikan dalam keadaan yang baik. Ini menunjukkan kerajaan BN di bawah kepimpinan Musa mentadbir negeri dengan baik.
“Kerajaan ini menunjukkan kesungguhan meningkatkan taraf hidup rakyat. Atas sebab itu, kita harus terus menyokong kerajaan yang bagus seperti ini.”
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata belanjawan itu membuktikan kekukuhan kedudukan kewangan Sabah, hasil pengurusan kewangan yang baik oleh kerajaan BN.
“Belanjawan yang holistik dan terangkum untuk menguatkan dan memperkasa ekonomi Sabah.”
Beliau menghargai belanjawan itu memperuntukkan RM115 juta dalam bentuk geran khas untuk manfaat perusahaan kecil dan sederhana.
Katanya, geran itu akan banyak membantu usahawan mikro, terutamanya dalam industri pengeluaran dan perkhidmatan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid memuji kemurahan hati belanjawan itu terhadap kebajikan rakyat, terutamanya wanita dan keluarga.
Kementerian itu, yang menerima peruntukan RM140.64 juta untuk belanja perbekalan tahun depan, akan menerima manfaat daripada peruntukan khas lebih RM90 juta untuk menyokong pembangunan wanita, belia dan sukan.
“Saya gembira belanjawan itu turut memperuntukkan kenaikan dana khas lebih 100% menjadi RM115 juta. Saya yakin wang itu akan digunakan dengan cermat agar lebih memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Merangsang pelancongan eko
Bagi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun, tambahan RM12 juta untuk membangunkan pelancongan desa sangat dinanti-nantikan dan tepat pada masanya kerana kementerian mengambil maklum trend pelancong menjurus ke arah alam sekitar berbanding meluangkan masa di bandar.
“Ini akan membantu warga desa kita, bukan sahaja mereka yang terlibat dalam perniagaan inap desa tetapi juga industri kraftangan.
“Saya amat berharap dan percaya dana tambahan itu akan lebih memperkasakan pelancongan desa kita.”
Beliau berkata sesetengah kawasan luar bandar di Sabah, terutamanya di Kiulu dan Kadamaian, industri pelancongan desa berkembang maju dan dijalankan masyarakat setempat.
Masidi mengagumi warga desa di Kadamaian berusaha seboleh-bolehnya membina industri pelancongan tersendiri dari bawah tanpa bantuan kerajaan.
“Hanya apabila siap terbina dan mula menjana untung mereka minta sedikit dana untuk membantu mereka membangunkan dan menaiktaraf prasarana di sana,” katanya.
Beliau berkata Sabah dirahmati dengan flora dan fauna dan beliau mengalu-alukan dana ke arah memelihara sumber asli, termasuk melindungi haiwan terancam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Masidi berharap langkah itu akan mengalakkan syarikat besar yang beroperasi di Sabah turut menyumbang kepada program pemeliharaan.