Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Plagiarisme jenayah akademik akibat lambakan bahan di Internet’

 | November 18, 2017

Sultan Perak bertitah reputasi kegemilangan sesebuah universiti tidak ditentukan semata-mata oleh bilangan siswazah yang dilahirkan, tetapi lebih kepada kualiti.

Sultan-Nazrin-Shah-jenayah-akademik-akibat-lambakan-bahan-di-InternetKUALA KANGSAR: Perbuatan plagiarisme atau penjiplakan adalah satu jenayah akademik, perilaku mungkar terhadap ilmu dan para ilmuwan yang wajib ditangani secara tegas, titah Sultan Perak.

Sultan Nazrin Shah yang juga canselor Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) bertitah, plagiarisme wajib diberikan perhatian serius dan kaedah pemantauan berkesan wajib diformulasi demi memastikan integriti serta kredibiliti sesebuah universiti terus terpelihara.

“Plagiarisme semakin membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya ‘World Wide Web’ dengan maklumat tersangat mudah diperoleh secara elektronik melalui Internet.

“Pada masa ini, maklumat begitu mudah disalin, ditiru dan ditampal dalam kerja kursus dan laporan yang disediakan pelajar,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen kali ke-10 Usas hari ini.

Istiadat itu melibatkan 843 graduan dengan 785 daripadanya menerima diploma, ijazah sarjana muda (17) dan ijazah sarjana (41).

Sultan Nazrin bertitah lambakan bahan dalam Internet menyulitkan warga akademik menyemak kesahihan dan keaslian kerja kursus serta bahan penyelidikan yang dihasilkan pelajar di bawah pengawasan mereka, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan jumlah yang ramai.

“Semoga dijauhkan nama baik Usas daripada tercemar dengan perbuatan plagiarisme, baik dalam kalangan pelajar, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga akademik.”

Selain itu, Sultan Perak bertitah reputasi kegemilangan sesebuah universiti tidak ditentukan semata-mata oleh bilangan siswazah yang dilahirkan, tetapi lebih kepada kualiti.

“Kualiti iaitu siswazah yang berwibawa serta berintegriti, memiliki daya analisis, pemikiran kritikal serta berpegang kepada prinsip berteraskan fakta, tegas lagi berani menyatakan kebenaran.

“Pihak berkuasa universiti ada tanggungjawab dan akauntabiliti daripada sudut perundangan dan moral untuk menjamin kredibiliti sesebuah institusi ilmu bergelar universiti.”

Sultan Nazrin dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada graduan yang berjaya memenuhi keperluan akademik masing-masing dan layak dianugerahkan ijazah serta diploma.

“Hargailah jasa kedua ibu bapa dan guru, laksanakan penghargaan tersebut walau berbentuk sepatah ungkapan terima kasih atau dakapan penuh kasih atau bacaan surah al-Fatihah kepada roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments