Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Restoran Amjal: Dari markas PAS jadi pusat Amanah

 | November 18, 2017

Tempat Pak Amjal suatu masa dulu persinggahan tokoh-tokoh PAS seperti Nik Aziz, Fadzil Noor, Hadi Awang dan Mat Sabu.

VIDEO INSIDE

restoran-amjal-pusat-amanah-2PETALING JAYA: Sebut sahaja Restoran Amjal, ramai yang terjebak dalam tunjuk perasaan dan ceramah politik, khususnya di Lembah Klang, mengenali tempat itu.

Pak Amjal berkata restorannya kini aktif dengan aktiviti Amanah.

Pak Amjal berkata restorannya kini aktif dengan aktiviti Amanah.

Mana tidaknya, sejak dibuka pada 1962, premis Pak Amjal menjadi tempat penyokong parti pembangkang berkumpul, berpakat dan bertukar maklumat mengenai perkembangan politik negara.

“Kebanyakan anak muda datang sini dulu terdiri daripada penyokong PAS,” kata Pak Amjal, atau nama sebenar Jalaluddin Ab Manap. “Mereka akan bermesyuarat di sini, sebab di tempat inilah mereka senang berpolitik.”

“Tempat ini mereka jadikan markas. Orang PAS banyak datang buat aktiviti di sini. Saya banyak tolong bagi tempat dan tidak pernah halang mereka.”

Dengan meletusnya reformasi 1998 dan parti pembangkang PAS, DAP dan PKR membentuk suatu pakatan, Restoran Amjal di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur menjadi persinggahan watak-watak penting seperti Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Noor Muhammad Noor, Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berceramah kepada pendengar mereka.

Barangkali lokasinya antara Universiti Malaya, Kampung Kerinchi dan Bangsar, atau penangan mee goreng telur matanya, ditambah pula rencah politik sebagai penyedap, menjadikan Restoran Amjal tempat strategik bagi penyokong PAS. Malah, Pak Amjal sendiri disegani sebagai “kaki demo” yang berani.

“Saya pernah masuk lokap 6 kali,” kata Pak Amjal. “Satu kali ditahan apabila menyertai himpunan bantah kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia bersama Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Khalid Samad.”

Gambarnya dalam tunjuk perasaan 1997 itu, mendepakan tangan dan dada menahan semburan air Unit Simpanan Persekutuan (FRU) antara gambar tunjuk perasaan yang ikonik. Berkopiah dan berkain pelikat, gambar itu membayangkan siapa beliau sebenarnya. Dinding kedainya juga berwarna hijau dan PAS seolah-olah wadah paling sesuai untuk beliau.

Dulu hijau sekarang jingga

Pak Amjal berkata restorannya yang sentiasa dikunjungi penyokong PAS bertukar wajah pada 2015, apabila beberapa pemimpin veteran parti itu, yang juga pelanggan kedainya, meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah.

Sejak itu, tiada lagi orang PAS berkumpul di situ, sebaliknya keriuhan di restorannya diganti dengan program anjuran Amanah.

“Sejak PAS berpecah, penyokong mereka tidak datang buat aktiviti di sini lagi. Mereka ada tempat lain,” katanya, sambil memaklumkan beliau menyertai Amanah awal tahun ini.

“Tapi tempat ini sentiasa ada orang apabila pemimpin Amanah menjadikan tempat ini untuk tempat aktiviti mereka. NGO, PKR dan banyak lagi parti lain nak datang sini, malah sekarang lebih banyak lagi aktiviti di restoran ini.”

Beliau cuma mengenakan caj RM80 sejam kepada mereka yang menyewa dewan restorannya. “Kadang-kadang percuma. Saya tidak berkira sangat kalau siapa nak guna.”

Pak Amjal akui perpecahan parti Islam itu mendukacitakan hati tuanya. “Saya kecewa bila PAS berpecah. Saya masuk Amanah sebab dalam Amanah ramai orang bijak pandai. Cara berhujah hebat berbanding PAS yang terlalu menekan soal agama.”

Ditanya bagaimana hubungannya dengan PAS sekarang ini, beliau berkata ada ahli PAS yang cuba memujuknya dan ada yang menjarakkan diri. Beliau bagaimanapun tidak terkilan jika penyokong PAS tidak lagi sudi datang merasai mee goreng telur mata Pak Amjal, kini dengan “perencah” Pakatan Harapan.

“Tiada masalah jika penyokong PAS mahu guna tempat ini untuk melakukan aktiviti,” kata Pak Amjal.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments