Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Perkasa: Lebih 95% rakyat miskin ialah Bumiputera

 | November 19, 2017

Naib Presiden Perkasa, Ruhanie Ahmad menggesa kerajaan menangani segera ketidaksamarataan itu berpandukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ruhanie-Ahmad

KUALA LUMPUR: Perkasa mendakwa lebih 95% rakyat miskin di Malaysia terdiri daripada Bumiputera yang jauh ketinggalan dalam bidang sosioekonomi.

Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, kedudukan sosioekonomi Bumiputera dalam keadaan bahaya.

“Lebih 75% pekerja am di Malaysia adalah Bumiputera, lebih 75% pekerja bergaji rendah di Malaysia adalah Bumiputera dan lebih 75% penganggur di Malaysia juga adalah Bumiputera.

“Jadi, inilah hakikat sebenarnya mengenai Bumiputera sekarang dan tidak adil jika status sosioekonomi mereka disamaratakan dengan lain-lain kaum di Malaysia,” katanya ketika berucap di Forum Belanjawan 2018: Di Mana Keistimewaan Bumiputera malam tadi.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera Perkasa itu menggesa kerajaan menangani segera ketidaksamarataan itu berpandukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Segala dasar dan program afirmatif dan ‘empowerment’ sosioekonomi Bumiputera tidak boleh disamaratakan status dan fokusnya dengan program dasar untuk membela nasib sosioekonomi lain-lain kaum di Malaysia.”

Seorang panelis dalam forum itu, Dr Mohd Yusof Saari berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu dilaksanakan.

Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia itu berkata, BR1M tidak membantu apabila harga makanan semakin meningkat.

“Sepatutnya beri subsidi penuh pada rakyat. Misalnya untuk barang asas seperti makanan. Ini kerana orang kaya tak banyak belanja untuk makanan. Tetapi rakyat marhaen yang banyak belanja untuk membeli makanan.”

Pada 30 Oktober lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pertambahan penerima BR1M membuktikan dasar ekonomi kerajaan gagal mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan.

Beliau berkata, program bantuan wang tunai itu terbukti berjaya jika penerima BR1M semakin berkurangan, bukannya meningkat.

Katanya, bermula dengan 4.1 juta penerima BR1M pada 2012, pentadbiran Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal mengurangkan jumlah itu, sebaliknya ia bertambah 2.9 juta penerima sejak 5 tahun lalu kepada 7 juta penerima.

Presiden PKR dan Pakatan Harapan itu berkata, kerajaan yang bertanggungjawab akan memikirkan dasar yang mampu membimbing kelompok itu keluar daripada kepompong kemiskinan, bukan sekadar memberi “ikan” tetapi juga “kail”.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments