Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

4 ahli Amanah berjaya batal saman PAS

 | November 20, 2017

Mahkamah memutuskan tuntutan saman itu lebih kepada plaintif pertama (Md Mansor Ali) iaitu individu yang memiliki hartanah tersebut.

gavel-amanah-pasKUALA LUMPUR: Empat anggota Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini berjaya membatalkan saman difailkan Yang DiPertua PAS kawasan Batu, Azhar Yahya dan parti itu berhubung tuntutan agar milikan hartanah dikembalikan kepada PAS kawasan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan defendan, Rosden Mohd Yassin, M Sugaimi A Rahaman, Ismail Yahaya dan Jamhor Nawawi, dalam kamar dengan dihadiri peguam defendan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dan Wan Rohimi Wan Daud bagi pihak Azhar dan PAS kawasan Batu.

Ahmad Zamri, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya atas alasan Azhar dan PAS kawasan Batu, selaku plaintif kedua dan ketiga, tidak mempunyai ”locus standi” (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan tindakan saman terhadap kesemua defendan.

“Mahkamah memutuskan tuntutan saman itu lebih kepada plaintif pertama (Md Mansor Ali) iaitu individu yang memiliki hartanah tersebut,” katanya yang turut memaklumkan saman yang difailkan Md Mansor terhadap kesemua defendan masih diteruskan.

Peguam itu berkata mahkamah turut memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos berjumlah RM3,000 kepada kesemua defendan dan menetapkan 24 Januari depan untuk pengurusan kes.

Dalam saman yang difailkan 20 Julai lepas, ketiga-tiga plaintif berkenaan menuntut perintah mahkamah supaya defendan menyerahkan hartanah kepada mereka iaitu 2 unit lot kedai, mengemukakan butiran akaun bersama dokumen asal kepada Azhar dan PAS kawasan Batu, keseluruhan perbelanjaan dan transaksi kewangan melibatkan hartanah itu termasuk jumlah dan bayaran tebus gadai, butiran penerimaan hasil sewaan hartanah, selain menuntut ganti rugi teladan, kos dan faedah.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif berkata Azhar dan PAS kawasan Batu telah membeli 2 lot kedai di Mukim Batu, dekat sini pada 2001 dengan harga RM250,000 dan hartanah itu dipindah milik dan didaftarkan atas nama plaintif pertama (Md Mansor) sebagai pemegang amanah.

Plaintif mendakwa, bagi tujuan pembiayaan pembelian hartanah itu, Md Mansor memohon pinjaman daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan plaintif ke-2 dan ke-3 telah membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.

Mereka mendakwa kesemua defendan ketika itu adalah Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS kawasan Batu bagi sesi 2013/2015 dan dilantik sebagai pemegang amanah kepada harta parti tersebut dalam tempoh berkenaan.

Plaintif mendakwa akibat krisis PAS Pusat menjelang Muktamar PAS Pusat Ke-61 pada 2015, kira-kira 16 orang AJK, plaintif ke-2 dan ke-3, termasuk kesemua defendan meletakkan jawatan sebagai AJK PAS kawasan Batu pada 16 Mac 2015 dan kesemua defendan yang bertindak keluar dari PAS telah menyertai Amanah.

Dakwa mereka pada Nov 2014, PAS kawasan Batu telah menerima surat tuntutan BIMB berhubung tunggakan ansuran bulanan bank bagi hartanah itu dan untuk menyelesaikan hutang, parti itu meminta kesemua defendan menyelesaikan urusan tebus gadai hartanah dengan bank.

Plaintif mendakwa kesemua defendan mengeluarkan wang kira-kira berjumlah RM15,000 setiap seorang untuk menyelesaikan hutang dengan bank yang dianggarkan RM57,766, namun plaintif mendakwa jumlah terperinci tebus gadai hartanah masih belum diketahui sehingga kini kerana defendan enggan mendedahkan butiran dan dokumen berkaitan dengan urusan itu.

Plaintif juga mendakwa kesemua defendan yang tidak berhak di sisi undang-undang untuk membuat keputusan melibatkan PAS kawasan Batu telah bertindak menjual harta-harta milik parti itu tanpa kebenaran.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments