Hanya 7% lepasan Tingkatan 3 ikuti latihan vokasional
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata pelbagai langkah dilaksanakan bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke TVET dan kolej vokasional.
KUALA LUMPUR: Hanya 7% pelajar lepasan Tingkatan 3 sedang mengikuti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di seluruh negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata pelbagai langkah dilaksanakan bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke bidang TVET dan kolej vokasional (KV), termasuk program khidmat bantuan di seluruh negara dan pendedahan mengenai prospek kerjaya yang boleh diceburi graduan KV.
“Kementerian Pendidikan melaksanakan transformasi TVET sejak 2012 untuk mengangkat martabat aliran itu sebagai aliran perdana untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memenuhi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020,” katanya menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sesi soal jawab lisan.
Menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik) strategi kementerian dalam meningkatkan enrolmen pelajar luar bandar ke KV, Kamalanathan berkata antara langkahnya adalah membuat hebahan melalui radio negeri, pengiklanan di suratkhabar serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan.
Katanya, permohonan dalam talian bagi kemasukan ke institusi TVET sesi 2018 telah dibuka dan banyak permohonan diterima setakat ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Selain Kementerian Pendidikan, 6 lagi kementerian yang turut terlibat dalam melakasanakan TVET ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.